Friday, 9 October 2009

Syarat muda, berpotensi

Oleh Norzie Khasbi
sukanutusan.com.my

KUALA LUMPUR - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sedia bertolak ansur memberi tempat kepada atlet yang gagal melepasi had kelayakan tetapi mempunyai prospek dan potensi memenangi pingat pada Sukan SEA di Laos, Disember ini.

Setiausaha Kehormatnya, Datuk Sieh Kok Chi menjangkakan, tidak semua atlet yang telah disenarai oleh persatuan mereka berjaya melepasi had kelayakan, malah beliau menjangkakan beberapa persatuan mungkin melakukan penambahan atlet apabila mesyuarat rayuan diadakan pada 13 Oktober ini.

"MOM sentiasa bersikap terbuka dan sedia mempertimbangkan atlet yang gagal melepasi had kelayakan tetapi berpotensi untuk meraih pingat di Sukan SEA atau memiliki potensi besar.

"Kriteria yang akan diberi keutamaan selain daripada potensi adalah faktor umur. Kita akan memberi lebih peluang kepada atlet yang muda dan ada prospek.

"Memang ketika ini beberapa sukan yang memerlukan had kelayakan menghadapi masalah untuk menempatkan atlet mereka, contohnya olahraga, mereka merupakan penyumbang utama emas tetapi hingga kini tidak ramai atlet mereka berjaya melayakkan diri.

"Kita akan tunggu sampai hujung minggu ini kerana mereka mempunyai kejohanan Terbuka Malaysia yang akan menjadi pentas terakhir kelayakan, selepas itu kita tengok apa yang boleh dilakukan,'' kata Kok Chi.

Kata Kok Chi, Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) sebelum ini menyenaraikan 30 atlet untuk beraksi pada temasya 8-19 Disember itu, tetapi setakat ini baru 13 berjaya melayakkan diri; sembilan lelaki dan empat wanita.

Atlet 110 meter lari berpagar, Rayzam Shah Wan Sofian yang menjadi antara penyumbang tujuh pingat emas negara pada Sukan SEA Korat 2007 antara yang masih gagal melayakkan diri.

Empat atlet berjaya melepasi had kelayakan acara 20km jalan kaki iaitu Teoh Boon Lim, Lo Choon Sieng, Mohd. Shahrulhaizy Abdul Rahman dan B. Thirukumaran, namun hanya dua daripadanya boleh beraksi di Laos.

Pemilihan hanya akan dibuat berdasarkan keputusan mereka pada Kejohanan Olahraga Terbuka India di Bhopal yang bermula kelmarin.

Atlet lelaki lain yang sudahpun melayakkan diri adalah juara lompat tinggi Asia, Lee Hup Wei, Chan Yew Woo (maraton), Mohd. Hafizuddin Shahadan (lompat bergalah), S. Mathialagan dan M. Vadivellan (800m).

Atlet wanita pula adalah Noraseela Khalid (400m lari berpagar), Yuan Yufang (20km jalan kaki), Tan Song Hwa (baling tukul besi) dan Roslinda Samsu (lompat bergalah).

No comments: