Thursday, 15 October 2009

Datuk Zolkples sasar lebih baik dari Doha


Chef-de-Mission ke Guangzhou mahu persatuan segera senarai atlit

SEBAIK diumum selaku chef-de-mission Sukan Asia 2010 di Guangzhou, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong tidak membuang masa apabila mengumumkan sasaran utama kontinjen Malaysia ialah mengatasi persembahan terbaik negara dalam sejarah penyertaan berkenaan iaitu lapan pingat emas di Doha 2006.

Justeru, Zolkples mengarahkan semua persatuan sukan kebangsaan yang bakal beraksi di Guangzhou untuk mengumumkan senarai pengurus pasukan masing-masing sebelum akhir tahun ini.

"Saya berterima kasih dengan kepercayaan diberi MOM (Majlis Olimpik Malaysia) melantik saya selaku chef-de-mission Sukan Asia 2010," kata Zolkples semalam. "Tugas kita sudah bermula dan daripada sekarang tidak ada masa untuk bertangguh-tangguh.

"Saya sudah menetapkan bahawa untuk Sukan Asia ke-16 sasarannya ialah mengatasi pencapaian terbaik negara dalam temasya itu setakat ini iaitu lapan emas yang diraih di Doha, tiga tahun lalu.

"Tempoh berbulan madu sudah berakhir dan saya mahu mengingatkan semua persatuan sukan kebangsaan dan pegawai MSN bekerja lebih keras daripada sekarang kerana prestasi mereka akan menjadi perhatian dan saya berharap mereka akan dapat mengikut rentak saya," kata Zolkples dengan nada penuh bersemangat dan tampak cukup bertenaga sejak kembali daripada cuti panjang hampir tiga bulan selepas menjalani pembedahan jantung, Julai lalu.

Kelmarin, MOM mengumumkan pelantikan Zolkples selaku chef-de-mission Sukan Asia 2010 di Guangzhou serta turut menamakan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohd Nadzmi Salleh sebagai ketua kontinjen Sukan Komanwel di New Delhi, tahun depan.
Zolkples berkata, semua tugasan atau kerja harus berdasarkan kepada KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) dan tiada lagi kerja sambil lewa.

"Barisan atlit untuk Sukan Asia dan Komanwel sudah dikenal pasti dan mungkin ditambah jika ada barisan pelapis yang menyinar pada Sukan Sea di Laos nanti," katanya. - BHARIAN

No comments: