Wednesday, 14 October 2009

370 atlet galas cabaran di Laos



SERAMAI 370 atlet sudah hampir pasti menggalas cabaran negara dalam 21 acara yang dipertandingkan pada temasya Sukan SEA XXV di Laos, Disember depan.

Begitupun, menurut Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, senarai akhir ini masih belum muktamad.

Ini kerana masih ada bebe- rapa lagi atlet yang berpeluang menyertai temasya dwitahunan itu sekiranya melepasi had atau masa kelaya- kan dalam beberapa kejohanan pada masa terdekat ini.

"Tarikh tutup penyertaan bagi atlet Sukan SEA Laos ialah pada 26 Oktober ini dan semua persatuan sukan sudah pun menghantar senarai atlet masing-masing kepada MOM," kata Kok Chi pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara yang akan beraksi di Kejohanan Sukan Dalam Dewan Asia Ke-3 di Wisma MOM semalam.

"Setakat ini lebih kurang 200 atlet akan bertanding di bawah kategori A manakala 170 atlet lagi di bawah kategori B.

"Begitupun, senarai ini masih belum muktamad kerana masih ada beberapa atlet kategori B yang mungkin dapat melepasi had kelayakan dalam beberapa kejohanan, sekali gus mampu diletakkan di bawah kategori A," kata Kok Chi lagi.

Menurut beliau, ketika ini ada beberapa atlet olahraga pilihan seperti Rayzamshah Wan Sofian dan Noraseela Khalid yang mengalami kecederaan mungkin sempat pulih dan memperbaiki prestasi manakala atlet angkat berat pula mempunyai beberapa lagi kejohanan dalam masa terdekat.

"MOM telah pun menyena- raikan semua atlet negara dalam kategori A dan B ini dan akan menghantar senarai penuh sebelum tarikh tutup 26 Oktober ini.

"Sekiranya atlet seperti Rayzamshah atau Noraseela yang cedera, namun sempat pulih dan mampu memperbaiki prestasi, maka dia akan diletakkan dalam kategori A. Jika tidak mereka akan tetap diletakkan di bawah kategori B," kata Kok Chi lagi.

Sementara itu, pada majlis semalam, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar memberitahu bahawa MOM tidak meletakkan sebarang sasaran terhadap penyertaan kontinjen Malaysia pada Kejohanan Sukan Dalam Dewan Asia Ke-3 yang akan berlangsung di Vietnam pada 28 Oktober ini hingga 8 November depan.

No comments: