Tuesday, 1 September 2009

Isu taekwondo tiada hujung

Oleh Meor Hisham Zulkifli
sham@bharian.com.my

SUDAH banyak amaran terakhir dikeluarkan, pelbagai tarikh akhir diberikan, mahkamah pula sudah seumpama pejabat sendiri, namun buat masa ini, usaha mengembalikan perpaduan kepemimpinan taekwondo negara ibarat mencurahkan air ke daun keladi.

Kali terakhir puak yang bertelagah dalam taekwondo diberikan tarikh akhir adalah pada awal tahun ini dengan amaran - selesaikan isu sebelum Jun 2009 atau tiada sukan itu di Sukma.

Namun tampil jawatankuasa `penyelamat’ yang diberi mandat Pesuruhjaya Sukan dipimpin Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Almarhum Tuanku Ja’afar, memberikan pula tarikh Julai atau Ogos.

“Apa yang berlaku... sia-sia. Malah MOM akhirnya kembali berlembut dengan membenarkan taekwondo menghantar atlit ke Sukan Sea Disember ini, menggunakan bendera MOM. Alasannya, demi atlit dan demi kebajikan.

“Alasan ini juga yang menjadi punca mengapa isu ini sudah berlarutan sejak 2005. Mungkin kita terlalu berlembut sedangkan hakikat sebenar dalam badan induk seni mempertahankan diri ini angkara pihak yang ingin membolot lebih banyak wang.”

Kata-kata itu bukan datang dari satu sumber, tetapi hakikat yang diakui semua termasuk menteri, pegawai sukan atau orang yang bertelagah dalam taekwondo sendiri, namun tiada siapa yang mahu menjadikan isu duit itu sebagai suatu isu rasmi yang perlu ditangani.

Soal duit - sama ada untung yuran puluhan ribu pelajar atau dari `pintu’ lain - jelas menjadi punca - baik berkaitan hak mengundi dalam `Persatuan Taekwondo Malaysia Baru’, kedudukan dalam persatuan, taraf baru `grand master’ atau sebagainya.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, berkata andai semua pihak bersifat terbuka dan benar-benar mementingkan sukan dan atlit, isu taekwondo sudah lama berakhir.

“Yang terus menjadi mangsa adalah atlit yang tidak mendapat tumpuan untuk berlatih atau menyertai pertandingan sedangkan taekwondo sebelum ini banyak menyumbang pingat untuk negara, malah turut dianggap antara pasukan terkuat di dunia,” katanya.

No comments: