Monday, 3 August 2009

Beliau melihat sukan sebagai perjuangan bukan pekerjaan - Ahmad Shabery


KUALA LUMPUR - "Beliau seorang pejuang sukan sebenar," ujar Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mengenai sumbangan besar yang dicurahkan Tunku Imran Tuanku Ja'afar kepada pembangunan sukan negara.

Ahmad Shabery berkata, Tunku Imran bukan sahaja seorang ahli sukan yang bagus, tetapi beliau juga seorang pemimpin berkaliber dan disegani ramai.

Katanya, tidak semua orang mempunyai kelebihan itu dan perkara tersebut telah menjadikan Tunku Imran salah seorang pejuang sukan terbaik yang berjaya dihasilkan Malaysia.

"Saya tidak sahaja menganggap Tunku Imran sebagai teladan kepada kita, tetapi sebagai tokoh besar dalam dunia sukan negara.

"Beliau bukan sahaja seorang ahli sukan yang baik, tetapi mempunyai sifat kepimpinan yang sangat tinggi. Tunku Imran boleh mengumpul apa jua sumber yang diperlukan.

"Tunku mempunyai kecintaan terhadap sukan yang sangat mendalam. Beliau melihat sukan sebagai perjuangan dan bukan sebagai pekerjaan," kata Ahmad Shabery di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas bertemu Tunku Imran bagi mengucapkan tahniah di atas kejayaan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu dipilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Sepanjang Hayat daripada Majlis Kriket Antarabangsa (ICC).

Selain Tunku Imran, Persatuan Kriket Malaysia (MCA) turut dipilih oleh ICC untuk menerima Anugerah Pembangunan Pepsi 2008 dan Inisiatif Kriket Remaja Terbaik Asia.

Majlis penganugerahan ICC tersebut telah berlangsung di London, Jun lalu.

Dalam pada itu, Tunku Imran dengan rendah diri menyatakan semua pengiktirafan tersebut satu berita gembira buat dirinya dan MCA.

Beliau yang berusia 61 tahun berkata, ia sebagai satu pengiktirafan besar kepada MCA kerana segala usaha persatuan itu dihargai di peringkat antarabangsa.

"Malaysia satu-satunya negara diberi kepercayaan menganjurkan Kriket Komanwel 1998 dan negara bukan test menganjurkan Piala Dunia Bawah 19.

"Ini sebahagian daripada bukti kepercayaan kriket dunia kepada Malaysia. Malah penganugerahan yang diterima daripada ICC pada Jun lalu membuktikan Malaysia terus berusaha membangunkan kriket," katanya yang akan melengkapkan 20 tahun perkhidmatan sebagai Presiden MCA pada 2011. - UTUSAN

No comments: