Wednesday, 22 July 2009

Baju Harimau dikomersialkan, Sukan OKU tukar Paralimpik

http://www.kbs.gov.my/4jkw3b/gambar/atlet_01.jpg

PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu mengkomersialkan baju Harimau di kalangan rakyat Malaysia dengan menjualkannya di pasaran biasa.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, perlaksanaan tersebut dilihat penting dalam memperkukuhkan sokongan orang ramai terhadap skuad negara.

Katanya, penjualan baju Harimau itu bakal menyemarakkan lagi sokongan rakyat Malaysia kepada kontinjen negara yang akan bertanding ke Sukan Olimpik London 2012.

"Ia merupakan salah satu langkah untuk rakyat negara ini menyatakan sokongan jitu mereka kepada skuad Malaysia.

"Sokongan rakyat Malaysia memakai baju Harimau akan meningkatkan lagi semangat atlet negara yang akan bertanding memburu pingat di temasya itu nanti.

"Sehubungan itu, KBS akan menjenamakan baju Harimau tersebut dan akan melantik serta memberi lesen kepada pihak tertentu untuk memasarkan baju tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Pembangunan Belia dan Sukan kali pertama.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim dan Wee Jeck Seng.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, KBS akan melaksanakan kempen meningkat sokongan orang ramai kepada kontinjen negara yang akan beraksi di Sukan Olimpik London bermula tahun depan.

Katanya, sokongan padu orang ramai mampu menyemarakkan semangat atlet untuk bertanding sehingga 10 peratus.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, mesyuarat semalam turut bersetuju untuk menukar penggunaan nama Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) kepada Sukan Paralimpik.

Katanya, penggunaan nama itu akan diseragamkan di setiap peringkat sukan tersebut dijalankan, sama ada di peringkat daerah, kebangsaan dan antarabangsa.

Sehubungan itu katanya, atlet dan kejohanan sukan tersebut akan dikenali sebagai Paralimpik dan tidak lagi OKU atau sebagainya yang digunakan sebelum ini.

Jelasnya, pembinaan Pusat Pembangunan Sukan OKU di Kampung Pandan, dekat sini juga akan ditukar nama kepada Pusat Sukan Paralimpik.

Namun begitu katanya, perkara tersebut yang telah dipersetujui pada mesyuarat semalam masih belum dimaklumkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Apa pun katanya, dia percaya penukaran penggunaan nama itu adalah sangat rasional bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan sesuai dalam konteks sukan.

No comments: