Wednesday, 29 July 2009

Atlet ke Laos ditentukan hari ini

STATUS kategori 600 atlet negara yang akan menyertai Sukan SEA di Laos, Disember depan akan diputuskan hari ini.

Demikian jelas Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi semalam.

"MOM akan membuat keputusan itu selepas mengadakan pertemuan dengan wakil persatuan sukan kebangsaan dan Majlis Sukan Negara (MSN) esok (hari ini) untuk menentukan status kategori setiap atlet yang dihantar ke temasya sukan itu yang akan berlangsung pada 9 hingga 18 Disember," katanya.

Kebiasaannya, atlet ke temasya sukan dwitahunan itu diletakkan di bawah kategori A dan B.

Atlet kategori A ialah mereka yang melepasi syarat penyertaan secara merit manakala kategori B pula ialah atlet yang tidak melepasi syarat tersebut dan persatuan akan menanggung perbelanjaan mereka ke temasya itu.

Tetapi jika atlet kategori B berjaya mendapat pingat, sekurang-kurangnya perak, MOM akan membayar kembali sebahagian daripada perbelanjaan tersebut.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam 20 acara pada temasya di Laos iaitu akuatik, memanah, olahraga, badminton, biliard dan snuker, tinju, lumba basikal, bola sepak, golf, judo, karate-do, pencak silat, petanque, sepak takraw, menembak, ping pong, tenis, bola tampar, angkat berat dan wusyu.

No comments: