Thursday, 18 June 2009

Skuasy makin hampiri Sukan Olimpik


(DARI kiri) Siyoli Lusaseni, Nicol David, Hanna Fekede Balcha dan Thierry Lincou mengetuai delegasi skuasy ketika membentangkan hujah untuk melobi sukan itu dimasukkan sebagai acara Sukan Olimpik bermula 2016 di Laussane, Switzerland, baru-baru ini.



KUALA LUMPUR - Usaha skuasy untuk dimasukkan dalam Sukan Olimpik bermula 2016 memasuki fasa paling penting minggu ini, dengan turut mendapat sentuhan dua personaliti sukan Malaysia, Datuk Nicol David dan Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

Isnin lalu, Nicol, pemain No. 1 dunia bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran mengetuai enam delegasi skuasy membuat pembentangan di depan Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) di Laussane, Switzerland, diketuai Presiden IOC, Jacques Rogge.

Tunku Imran, yang juga penaung skuasy bertindak memperkenalkan delegasi yang turut dibarisi Presiden Persekutuan Skuasy Dunia (WSF), N. Ramachandran; bekas juara dunia dari Perancis, Thierry Lincou; bintang sedang meningkat Afrika Selatan, Siyoli Lusaseni serta pemain cilik berusia 13 tahun, Hanna Fekede Balcha dari Habsyah.

Pembentangan bermula dengan tayangan video yang memberi penekanan terhadap aspek penting dalam skuasy, diikuti dengan hujah-hujah mengapa mereka berhak menjadi acara Olimpik.

Antara yang ditekankan, skuasy amat mudah dimainkan dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat, selain seronok untuk ditonton di televisyen.
Malah, ranking dunia pula menunjukkan kedudukan pemain utama datang daripada 30 buah negara berbeza, sekali gus membuktikan sukan ini tidak didominasi oleh negara atau benua tertentu.

Penampilan Balcha, yang petah melontarkan idea hanya pada usia 13 tahun dilihat sebagai 'senjata' dalam pembentangan itu.

Remaja yang berasal dari Habsyah tetapi mengikut keluarganya berpindah ke San Diego, Amerika Syarikat itu menyampaikan hujah dengan sangat meyakinkan dan memukau semua yang berada di dalam dewan.

"Sehinggakan di hujung pembentangan ketika Jacques Rogge bertanya kepada jawatankuasa sama ada mereka ingin bertanya apa-apa soalan, semuanya hanya diam terpaku.

"Pada saya Hanna merupakan bintang kami hari itu. Pada usia 13 tahun dia begitu tenang ketika menyampaikan hujah, dan memukau semua yang hadir. Saya benar-benar terpesona,'' ujar Lincou.

Skuasy, bagaimanapun perlu bersaing sengit dengan enam lagi sukan - golf (sukan pilihan), ragbi (tujuh sebelah), golf, karate, bola lisut, besbol dan sukan luncur.

Menurut IOC, daripada tujuh sukan ini, hanya dua akan dipilih menjadi acara baru Sukan Olimpik.

UTUSAN MALAYSIA

No comments: