Monday, 25 May 2009

Pro&Kontra: Ahmad Shabery mampu teraju MOM

Oleh Raja Ahmad Zainuddin

KEMELUT dalam Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sekali lagi menjadi perhatian menjelang pemilihan barisan kepimpinannya akhir bulan ini.

Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dikatakan pasti mencabar Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Jaafar selepas menarik diri pada pemilihan lalu tetapi persoalan yang timbul ialah, mampukah Shahidan yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) mengenepikan Imran pada ketika dia tidak lagi menjadi Menteri Besar?

Shahidan yang memimpin empat persatuan sukan kebangsaan dikatakan melobi untuk mendesak Tunku Imran berundur bagi memberi laluan mudah untuknya menerajui badan induk itu.

Malah, Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) secara terbuka bersetuju mencalonkan Shahidan bagi merebut jawatan itu.

Sebenarnya dalam konteks MOM itu sendiri, sejarah menunjukkan bahawa orang kuat istana sebelum ini pun gagal menggugat dan mengenepikan Tan Sri Hamzah Abu Samah, bekas Menteri Belia dan Sukan ketika mempertahankan jawatan Presiden MOM.

Persoalan di sini ialah jika benar untuk mencari pengganti dalam MOM, kenapa tidak minta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek sahaja yang bertanding atau secara sepakat menyerahkan jawatan itu kepada beliau, sebagai mana yang pernah dilakukan sebelum ini apabila Tan Sri Hamzah dilantik.

Dari sudut protokol apabila hadir ke Sukan Olimpik, sesuai sangat Menteri Belia dan Sukan memegang jawatan berkenaan, namun terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskannya kerana keputusan sebelum ini melarang mana-mana menteri, timbalan menteri atau setiausaha parlimen memegang sesuatu jawatan utama dalam badan sukan peringkat kebangsaan dan negeri.

No comments: