Wednesday, 20 May 2009

Perubahan MOM

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my

ADAKAH akan berlaku pembaharuan dalam barisan kepimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 30 Mei ini?
Khabar angin kini bertiup kencang tentang perubahan itu, malah ada individu yang kini memegang jawatan dalam MOM dilihat sedang ligat berkempen untuk meraih undi.

Pelbagai janji dilontarkan dengan syarat undi diberikan kepada mereka.

Individu-individu ini dilihat tangkas ‘berkempen’ sehingga larut malam sambil duduk menikmati teh tarik dengan orang yang cuba mereka pengaruhi untuk memberikan mereka undi.

Menariknya, individu-individu itu sudah mula yakin bahawa ‘kem’ mereka akan menang pada pemilihan pucuk pimpinan MOM kali ini yang mereka sebut sebagai misi transformasi besar-besaran.

Khabar angin ini juga disebarkan oleh orang dalaman MOM sendiri yang turut menyertai ‘kem’ baru yang mempunyai misi menumbangkan kepimpinan lama.

Apa pun, segala-galanya akan diketahui hari ini apabila kertas pencalonan dibuka oleh panel bebas yang dilantik oleh MOM.

Begitupun, panel bebas itu yang diketuai Norminshah Sabirin menjelaskan bahawa senarai calon tidak akan diumumkan dan ia hanya akan dilakukan pada tarikh yang ditetapkan.

Setakat ini, khabar angin bertiup kencang tentang jawatan penting dalam MOM itu akan dipertandingk an. Jawatan timbalan presiden bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu melibatkan penyandang jawatan, Datuk Dr. M. Jegathesan dengan pencabarnya, Datuk Seri Ibrahim Saad.

“Saya telah menerima pencalonan dan bersedia mencabar Dr. Jegathesan,” kata Ibrahim semalam yang dikatakan berpeluang menangi jawatan tersebut.

Dr. Jegathesan yang mula menyandang jawatan timbalan presiden sejak 2005 mengekalkan kerusi itu selepas tidak dicabar pada pemilihan tahun 2007.

Namun, situasi terkini yang berlaku dalam MOM pastinya menarik minat pemerhati sukan tempatan selepas dua lagi kerusi utama iaitu jawatan presiden dan setiausaha kehormat turut dilaporkan bakal dicabar.

Jawatan presiden yang kini disandang Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar bakal dicabar oleh bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Persoalannya, sejauh manakah keberanian Shahidan untuk mencabar Imran kerana pada pemilihan sebelum ini, beliau menarik diri pada saat akhir.

Jawatan setiausaha kehormat yang kini dipegang Datuk Sieh Kok Chi sejak tahun 1992 turut menjadi perhatian apabila seorang lagi penyandang jawatan naib presiden, Low Beng Choo dikatakan sedia menentangnya.

“Saya tidak mahu mengulas apa-apa tetapi jika benar (ada pencabar), saya sedia berdepan dengannya pada majlis pemilihan hujung bulan ini,” ujar Kok Chi kepada Kosmo!

Laporan terkini mengesahkan bahawa Beng Choo yang juga presiden Persatuan Sofbol Malaysia menolak untuk bertanding jawatan itu dan hanya bersedia mengekalkan jawatannya sebagai naib presiden.

KOSMO

No comments: