Tuesday, 26 May 2009

MOM ambil langkah waspada politik wang

Oleh Ahmad Khawari Isa
ahmadkhawari@bharian.com.my

MUNGKINKAH kini wujud petanda betapa pemilihan pucuk pimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) - dijadual Sabtu ini - sudah terperangkap dengan elemen 'politik wang'?

Tafsiran itu terjelma ekoran kenyataan Pengerusi Panel Bebas MOM, Norminshah Sabirin yang 'memberi amaran keras terhadap sebarang perlakuan tidak beretika dan tidak bermoral oleh sesiapapun serta harus tahu bahawa 'politik wang' dalam mana-mana pemilihan adalah satu kesalahan...'

Kenyataan itu terkandung dalam siaran maklumat mingguan MOM yang diterima, kelmarin. Ia adalah kali pertama kenyataan sebegitu dikeluarkan menjelang pemilihan pucuk pimpinan MOM.

Apa yang pasti, kehangatan pemilihan ketara apabila dua pemimpin utama � presiden, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar dan timbalannya, Datuk Dr M Jegathesan � masing-masing ditentang dua tokoh politik, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Dr Ibrahim Saad.

Namun Norminshah, ketika dihubungi untuk penjelasan lanjut, semalam, menegaskan bahawa kenyataan itu adalah sebagai makluman dan nasihat buat dijadikan panduan semua calon.

"Kami andaikan bahawa ia tidak berlaku dan juga harap ia tidak akan berlaku. Ia (kenyataan itu) adalah untuk makluman. (Tetapi) sesiapa yang tahu (wujudnya elemen itu) tolong maklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Sebagai orang yang diberi tanggungjawab, saya tidak harus mempunyai sebarang rasa syak wasangka. Ini adalah untuk ingat mengingati kepada semua," katanya.

Panel bebas itu, dilantik berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan MOM, bertanggungjawab untuk mengurus, memerhati dan mengelolakan pemilihan jawatan pucuk pimpinan MOM, Sabtu ini.

Jawatan lain turut dipertandingkan nanti ialah empat naib presiden yang disaingi enam calon, pertarungan empat penjuru buat jawatan penolong setiausaha kehormat lelaki serta dua calon buat kerusi penolong setiausaha kehormat wanita.

Tumpuan awal sebelumnya terhadap kerusi Setiausaha Kehormat MOM bagaimanapun tidak jadi kenyataan apabila Datuk Sieh Kok Chi menjadi nama tunggal dicalonkan untuk jawatan berkenaan.

No comments: