Friday, 29 May 2009

KBS sasar 34 emas


RAZALI (kanan) memberi kata-kata semangat kepada atlet-atlet negara pada majlis Perhimpunan Atlet Program Cabaran 2010 di Bukit Jalil semalam.


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) hanya menyasarkan 34 pingat emas pada Sukan SEA XXV di Laos, Disember depan.

Jumlah itu merupakan separuh daripada 68 pingat emas yang diraih kontinjen Malaysia pada Sukan SEA di Korat, Thailand dua tahun lepas.

Sasaran KBS itu dianggap realistik kerana beberapa acara yang menjadi 'lubuk' emas kontinjen Malaysia pada temasya di Korat seperti boling dan skuasy tidak dipertandingkan pada Sukan SEA di Laos.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, sasaran tersebut sudah dianggap memadai kerana tindakan Laos yang tidak menyenaraikan beberapa acara sukan yang berpotensi menyumbang emas buat kontinjen Malaysia.

"Bagi KBS, kejayaan meraih separuh daripada 68 emas yang diperoleh pada Sukan SEA di Korat sudah boleh dianggap berjaya.

"Kerajaan akan memberi komitmen seratus peratus untuk atlet negara merealisasikan sasaran tersebut," kata Razali pada sidang media selepas melancarkan Perhimpunan Atlet Program Cabaran 2010 di Bukit Jalil semalam.

Pada temasya Sukan SEA XXV, sebanyak 386 acara dalam 25 jenis sukan dipertandingkan.

Acara utama yang masih dipertandingkan termasuk olahraga, akuatik, memanah, badminton, snuker dan biliard, lumba basikal, bola sepak, golf, judo, karate, sepak takraw, menembak, tenis, ping pong, taekwondo, wusyu, bola tampar, angkat berat, tinju, pencak silat dan petanque.

Ditanya mengenai tindakan beberapa persatuan sukan kebangsaan menghantar atlet pelapis ke Laos, Razali berkata: "Kami tidak menghalang mereka berbuat demikian kerana ia sebagai salah pendedahan kepada atlet muda negara menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa."

No comments: