Wednesday, 22 April 2009

Malaysia hantar kontinjen terbesar ke Guangzhou

Oleh Lukman Salleh
lukmsal@bharian.com.my


KOK Chi (kanan) bersama Xinfang (kiri) dan Profesor Chin pada sidang media yang diberikan anggota GAGOC di Kuala Lumpur, semalam.

Bakal sertai 42 daripada 45 acara Sukan Asia 2010

MALAYSIA bakal menghantar kontinjen terbesar dalam sejarah Sukan Asia ke Temasya XVI di Guangzhou, tahun depan dengan penyertaan dalam 25 daripada 42 sukan yang dipertandingkan.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, jangkaan penyertaan terbesar itu adalah berdasarkan kepada beberapa sukan yang dipertandingkan menyaksikan Malaysia mempunyai kelebihan serta juga tambang pengangkutan yang agak murah serta berdekatan dengan negara ini.


"Saya menjangkakan kita mungkin menghantar kontinjen terbesar ke Guangzhou," kata Kok Chi kepada wartawan selepas majlis sidang akhbar oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Guangzhou (GAGOC) di Kuala Lumpur, semalam.

"Ini berdasarkan kepada beberapa sukan yang dipertandingkan sama ada ia sukan dalam senarai Olimpik atau pun bukan dalam senarai seperti wushu, taekwondo dan skuasy di mana Malaysia mempunyai kelebihan dan kekuatan dalam sukan ini serta MOM yang masih mengamalkan kelayakan kategori B iaitu pembiayaan sendiri oleh persatuan.

"Selain itu tambang pengangkutan yang dijangka murah serta Guangzhou agak berdekatan dengan Kuala Lumpur berbanding Doha pada 2006 memungkinkan kita menghantar kontinjen lebih besar.

"Saya juga pasti bahawa masalah kewangan global yang melanda dunia sekarang ini tidak akan menggugat penyertaan negara Asia dalam temasya ini," katanya.

Sidang akhbar itu diberi Timbalan Ketua Jabatan Perkhidmatan GAGOC, Hua Xinfang, dan turut dihadiri Naib Presiden MOM, Prof Datuk W Y Chin.

Hua memaklumkan bahawa persiapan tuan rumah berjalan lancar dengan prasarana sukan hampir atau sudah siap dan bersedia menanti kunjungan lebih 10,000 atlit daripada lebih 40 negara anggota Asia.

"Kami mahu memastikan temasya kali ini dianjurkan dengan jayanya dan persiapan sedang berjalan dengan rancak," kata Hua. "Saya juga pasti masalah kewangan tidak akan menggugat persiapan kami atau pun persiapan negara anggota Asia yang lain.


Berita Harian

No comments: