Saturday, 18 April 2009

Jangan dengar khabar angin - Beng Choo


BENG CHOO nafi mahu cabar Kok Chi bagi jawatan Setiausaha Kehormat MOM.


JANGAN dengar khabar angin.

Demikian jelas, Naib presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Low Beng Choo mengenai dakwaan bahawa beliau dikatakan mahu mencabar jawatan Setiausaha Kehormat MOM yang kini disandang Datuk Sieh Kok Chi.

Menurutnya, beliau belum bersedia membuat sebarang keputusan kerana masih terlalu awal untuk berbuat demikian.

"Saya tidak mahu komen mengenai perkara ini. Ini hanya spekulasi (khabar angin).

"Mungkin beliau (Kok Chi) hanya dengar khabar angin, malah macam- macam cerita yang saya dengar sekarang.

"Saya tidak tahu-menahu mengenainya, lagi pun apa juga keputusan tidak perlu dibuat terburu-buru," katanya kepada Kosmo! semalam.

Beng Choo berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar semalam yang mendakwa beliau mahu bertanding jawatan Setiausaha Kehormat MOM.

Kok Chi telah memegang jawatan tersebut selama empat penggal bermula tahun 1992 lalu.

Beng Choo berkata, beliau hanya membuat keputusan berdasarkan borang pencalonan yang dijangka dibuat bulan depan.

"Borang pencalonan masih belum dibuka, bagaimana saya hendak buat keputusan.

"Ini adalah spekulasi. Mungkin, saya tidak dicalonkan langsung," kata- nya.

Ditanya adakah beliau berminat dengan jawatan tersebut atau mempertahankan kedudukannya sebagai Naib Presiden MOM, Beng Choo berkata: "Saya tidak boleh membuat keputusan, ia bergantung kepada pencalonan.

"Kalau ada pencalonan, baru saya akan buat keputusan," katanya.

MOM akan membuka pencalonan pada 20 Mei depan iaitu 10 hari sebelum mesyuarat agungnya bermula.

Pada mesyuarat agung itu kelak, ia akan menyaksikan perebutan bagi jawatan-jawatan yang dipertandingkan termasuk jawatan presiden.

Selain daripada jawatan naib presiden MOM, Beng Choo turut memegang jawatan Pengerusi Muzium dan Dewan Kecemerlangan MOM serta Pengerusi Jawatankuasa Sukan Wanita MOM.

Pada peringkat antarabangsa pula, beliau adalah anggota Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa serta Jawatankuasa Wanita Majlis Olimpik Antarabangsa.

Beliau juga menduduki kerusi dan ahli Jawatankuasa Wanita Dan Sukan Majlis Olimpik Asia (OCA).

Beng Choo turut memegang jawa- tan sebagai Timbalan Setiausaha Persekutuan Bola Lisut Antarabangsa (ISF), Setiausaha Persekutuan Bola Lisut Asia dan Presiden Persatuan Bola Lisut Malaysia (SAM).-Kosmo

No comments: