Tuesday, 31 March 2009

Usia bakal julang Azizul, Rizal


KUALA LUMPUR - Faktor usia yang masih muda bakal menjadikan Azizulhasni Awang dan Rizal Tisin lebih konsisten pada masa akan datang.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi melihat peluang kedua-dua atlet berbasikal trek negara itu lebih cerah memandang usia atlet tersebut yang muda tetapi telah memperoleh pingat serta membuat rekod baru.

''Saya tidak menolak kemungkinan prestasi mereka akan lebih baik daripada Josiah Ng ekoran pada usia muda mereka telah mendapat kecemerlangan.

''Prestasi mereka boleh meningkat ke tahap yang lebih tinggi kerana kini mereka telah memenangi pingat kejohanan dunia dan memegang rekod Asia sukan tersebut,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Wisma MOM, di sini semalam.

Kelmarin, Azizulhasni berjaya menyumbang pingat perak menerusi acara pecut pada Kejohanan Dunia manakala Rizal Tisin turut meraih gangsa menerusi acara 1km ujian masa sekali gus melakar sejarah lebih 50 tahun sukan lumba basikal negara.

Kok Chi turut berkata, peluang untuk atlet berbasikal trek negara baik kerana negara memandang berat pembangunan sukan tersebut.

''Sukan ini mempunyai perancangan yang sangat baik kerana kita mempunyai dua buah Velodrom berbanding negara-negara lain yang tiada satu pun kemudahan ini dan tidak mampu melahirkan atlet sebegini

''Malah atlet cemerlang seperti Azizulhasni turut diberi peluang untuk berlatih di luar negara iaitu di Australia bersama atlet-atlet antarabangsa lain,'' katanya.

Sementara itu, Kok Chi melihat peluang untuk bekerjasama dengan jurulatih trek negara, John Beasley masih ada jika Majlis Sukan Negara (MSN) membuat tindakan selanjutnya.

''Saya tidak tahu ada kemungkinan atau tidak Beasley akan melatih kembali Azizulhasni dan Rizal.

''Semuanya terserah kepada MSN untuk mengekalkannya atau mencari alternatif lain,'' katanya.

Semalam, jurulatih itu mengakui telah mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama semula dengan negara kelahirannya, Australia.

No comments: