Friday, 27 March 2009

Tanggung sendiri pergi Taiwan




PERSATUAN sukan kebangsaan yang berhasrat mengambil bahagian pada Sukan Dunia di Kaohsiung, Taiwan, Julai depan harus menanggung perbelanjaan masing-masing.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi (gambar) berkata, pihaknya masih kabur mengenai tujuan penganjuran tersebut.

"Ini kerana penganjur tidak menghubungi kami yang bertindak sebagai penaung kepada semua persatuan sukan kebangsaan di negara ini.

"Setahu saya, penyertaan pada tema- sya itu berdasarkan jemputan. Bagi MOM, kita tidak mengiktiraf Sukan Dunia sebagai pertandingan kompetitif tetapi lebih kepada soal pertunjukan," katanya semalam.

Kok Chi berkata, beliau menerima surat daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bulan lepas yang meminta MOM mengiktiraf temasya tersebut.

Namun, disebabkan temasya itu dikendalikan oleh Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA), selaku badan bebas, MOM berpendapat, pihak penganjur hanya mahu membuat keuntu- ngan segera.

"Bagi persatuan sukan tempatan, sukan boling, bina badan, karate dan skuasy telah menunjukkan minat untuk menyertai edisi kelapan sukan itu dari 16 hingga 26 Julai depan dan mereka perlu membiayai perbelanjaan sendiri," katanya.

Edisi pertama Sukan Dunia diadakan di Santa Clara, Amerika Syarikat pada 1981 dan sejak itu, ia dianjurkan empat tahun sekali kecuali pada tahun berlangsungnya Sukan Olimpik.

Seramai 4,500 atlet dari 99 negara dijangka menyertai temasya di Kaohsiung nanti yang akan mempertandingkan 31 acara sukan.

Antara sukan yang dipertandingkan ialah skuasy, boling, gimnastik akroba- tik, sukan menari, biliard, sumo, wusyu, kenu, polo air, ragbi tujuh sebelah, sofbol, bina badan, memanah, ski air dan perahu naga.

No comments: