Wednesday, 4 March 2009

Profesional terajui persatuan SUKAN


ANISAH HAMBALI.


Mukadimah
Ketika ini hampir semua persatuan sukan peringkat nasional di negara ini diterajui oleh tokoh-tokoh politik dan juga kerabat diraja. Sesetengah daripada pemimpin persatuan sukan ini bukan saja tidak mempunyai pengetahuan yang luas tentang sukan malah tidak mempunyai masa untuk persatuan.

Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini mengarahkan semua menteri kabinet melepaskan jawatan dalam persatuan sukan, banyak yang melihat kesan positifnya.

Ada sesetengah pihak menganggap arahan Perdana Menteri ini sebagai anjakan paling bermakna untuk menjana kecemerlangan baru dalam bidang sukan. Ini bermakna persatuan sukan mesti diterajui oleh tokoh yang mempunyai pengetahuan dalam sukan serta mempunyai minat yang mendalam.

Bagaimanapun perunding sukan, Anisah Hambali berkata, persatuan sukan mesti diterajui oleh kalangan profesional yang mempunyai keupayaan kewangan yang kukuh, berpengetahuan dalam sukan dan minat yang mendalam.

Kata Anisah yang juga bekas pensyarah Fakulti Sains Sukan UiTM, Shah Alam, tokoh politik yang berpengaruh tetap diperlukan oleh persatuan sukan dan mereka boleh dilantik sebagai penasihat atau penaung.

“Pemimpin persatuan sukan bukan sekadar perlu tahu hal-hal asas tentang sukan tetapi melihat sukan daripada sudut yang luas untuk mengubah persepsi masyarakat,” tegas Anisah dalam wawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN Jumaat lalu.

Wartawan Mingguan Malaysia, AMRAN MULUP turut mendapatkan pandangan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad mengenai isu yang sama. Turut berkongsi pandangan ialah bekas Naib Presiden Persataun Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Paduka Basri Akil.

‘‘Walaupun arahan Perdana Menteri menumpukan kepada segelintir golongan sahaja, saya harap ia boleh membangkitkan kesedaran secara umum,’’ kata Basri kepda wartawan SHARIZA ABDULLAH di Alor Star.

MINGUAN: Siapa yang sepatutnya menerajui persatuan sukan?

ANISAH: Bagi saya yang sepatutnya menerajui persatuan sukan ialah kalangan profesional. Makna profesional dalam konteks ini bukan saja yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam sukan tertentu tetapi juga mesti disokong dengan keupayaan kewangan yang kukuh. Tetapi kalau saya kata kewangan yang kukuh bukanlah maknanya siapa saja kalangan ahli perniagaan boleh jadi peneraju persatuan sukan. Keupayaan kewangan saja pun belum cukup kalau tanpa minat yang mendalam. Kita tidak boleh ambil saja mana-mana ahli perniagaan. Kalau tidak ada minat, kita lantik juga, nanti balik-balik sama jugalah masalahnya.

Dalam bidang sukan sekarang ini, adakah mereka yang dipilih menerajui persatuan benar-benar tahu keperluan sukan yang diterajuinya?

ANISAH: Yang saya tahu, ada banyak isu dalam sesetengah persatuan tidak boleh disampaikan kepada presiden. Sebabnya presiden sendiri pun tidak tahu keperluan-keperluan bidang sukan yang diterajui. Ini kerap berlaku dalam persatuan sukan. Misalnya yang menjadi presiden sukan renang, pemimpinnya tidak tahu tentang sukan renang. Bagaimana hendak memimpin kalau tidak tahu apa yang perlu dipimpin? Saya tertanya-tanya juga pernahkah presiden persatuan sukan renang itu berenang?

Apakah komen anda terhadap arahan Perdana Menteri supaya semua menteri kabinet melepaskan jawatan dalam persatuan sukan?

ANISAH: Saya harap arahan itu bukan kepada menteri kabinet saja tetapi dipanjangkan kepada semua Menteri Besar, Ketua Menteri dan juga kerabat diraja. Mereka mempunyai banyak tugas lain dan sudah tentu tidak dapat memberikan sepenuh komitmen terhadap persatuan. Bila kita memilih peneraju persatuan sukan daripada kalangan orang biasa yang ada pengetahuan, ini memudahkan perjalanan persatuan. Maknanya seorang yang tidak ada kedudukan yang terlalu tinggi dan tidak perlu banyak protokol. Macam mana boleh menjadi peneraju yang baik kalau hendak jumpa pun susah, protokol pula bukan main banyak? Sebenarnya kita sudah banyak kali cakap tentang perkara ini tetapi tidak ada tindakan. Bila ada tindakan (arahan) macam ini, tepatlah dengan masanya.

Adakah mutu sukan menurun disebabkan persatuan-persatuan sukan dipimpin oleh tokoh-tokoh politik yang sesetengahnya tidak tahu sukan?

ANISAH: Penglibatan menteri dalam sukan di negara ini bukan baru. Tetapi bila kita bercakap mengenai pencapaian sukan, ia melibatkan banyak faktor. Kita tidak boleh mengambil satu faktor dan terus meletakkan kesalahan kepada faktor itu saja. Kita pun tidak boleh menyalahkan pucuk pimpinan beberapa persatuan sukan apabila mutu sukan menjunam.

Adakah penglibatan tokoh politik di negara ini kerana mereka betul-betul berminat dengan sukan?

ANISAH: Adalah dua tiga persatuan yang memperlihatkan tokoh politik yang benar-benar berminat dengan persatuan sukan berkenaan. Misalnya kalau di segi aktiviti persatuan, mereka turut melibatkan diri. Tetapi kita tidak dapat menolak kemungkinan ini disebabkan kepentingan politik. Maknanya bila mereka melibatkan diri dengan sesebuah persatuan yang cemerlang sukannya, dengan sendiri memberikan keuntungan di sudut politik. Orang akan ingat, persatuan itu maju dan cemerlang termasuk sukannya semasa berada bawah pimpinan seseorang tokoh politik itu.

Dalam kajian anda, apakah alasan yang paling munasabah melantik tokoh politik, menteri misalnya menjadi pemimpin persatuan sukan?

ANISAH: Saya fikir alasan yang utama ialah kepentingan persatuan itu. Apabila dipimpin oleh tokoh yang ada kuasa dan pengaruh, orang akan lebih percaya dan yakin dengan apa saja yang dicakapkan oleh tokoh ini. Maknanya ini memudahkan untuk persatuan itu menyampaikan sesuatu kepada masyarakat. Contoh untuk memperkenalkan satu sukan baru, kalau orang biasa dari persatuan itu sendiri nak pergi bersyarah, tentu sukar untuk meyakinkan orang. Tetapi kalau tokoh berpengaruh yang mempunyai hubungan rapat dengan rakyat, persatuan lebih mudah mendekati rakyat.

Bagaimana pula di segi buruknya pemimpin persatuan sukan kalangan tokoh politik?

ANISAH: Saya percaya susah untuk komiti persatuan bersuara. Satu hal lagi di segi pembangunan, kalau ada orang bawah yang mempunyai pendapat lebih baik tetapi dia tidak berani bersuara. Maka timbul perasaan, dia yang di atas itu Datuk itu atau Datuk ini, kita ni siapa? Ini boleh menjurus kepada birokrasi dalam persatuan. Satu lagi yang buruknya, tokoh politik sentiasa sibuk dengan tugas hakiki yang lain. Tetapi bila dicampuradukkan dengan perkara-perkara yang barangkali bukan menjadi minatnya, kepentingan persatuan akan terpinggir. Biasalah kalau perkara yang bukan menjadi minat kita. Semua orang tidak mahu membuat sesuatu kepada bidang yang tidak menjadi minatnya. Ini ditambah pula dengan tidak ada pengetahuan dalam bidang sukan itu.

Tetapi kita kena realistik bahawa tokoh politik atau bertaraf menteri misalnya penting bagi sesebuah persatuan sukan.

ANISAH: Tokoh politik atau yang bertaraf menteri atau golongan bangsawan tetap diperlukan. Persatuan masih boleh melibatkan mereka tetapi di peringkat penasihat atau penaung. Persatuan sukan tetap memerlukan orang-orang yang berpengaruh seperti ini. Tetapi tidak usahlah dipilih jadi presiden. Saya mengambil contoh kalau kita bercadang menganjurkan satu acara sukan bertaraf antarabangsa. Tokoh yang berkuasa dan berpengaruh ini sangat diperlukan. Kalau tidak kita meng hadapi masalah untuk meyakinkan pihak luar tentang acara yang kita anjurkan. Misalnya acara golf bertaraf dunia hendak diadakan di negara ini, kalau kita tidak melibatkan orang yang paling berpengaruh sebagai penaung atau penasihat, kita tak boleh membawa Tiger Wood datang main golf di sini. Misalnya Yang di-Pertuan Agong menjadi penaung atau penasihat, dengan sendirinya akan mengangkat prestij kejohanan itu.

Kalau kita lihat kembali 20 tahun dulu, beberapa jenis sukan kita mencapai kecemerlangan yang tinggi. Bagaimanakah persatuan sukan waktu itu?

ANISAH: Waktu itu persatuan sukan tidaklah terlalu kuat. Tetapi satu faktor yang saya lihat ketika itu tidak ada perbalahan dalam persatuan. Misi dan visi sangat jelas. Kalau di segi material, tidaklah sebanyak sekarang. Imbuhan tidak semewah sekarang dan mereka yang terlibat dalam persatuan sukan tidak ada kepentingan peribadi. Semuanya untuk negara. Saya percaya ini salah satu kunci keutuhan persatuan yang menyumbang kepada kegemilangan sukan waktu itu.

Jadi dalam konteks kecemerlangan sukan, tak ada larangan supaya kita jangan pandang belakang?

ANISAH: Kita memandang belakang bukan untuk undur. Kita seharusnya sentiasa pandang ke belakang melihat contoh yang boleh dikutip untuk diaplikasikan pada masa ini. Kita bukan saja pernah cemerlang malah sangat cemerlang, dalam bola sepak, badminton dan sepak takraw misalnya. Menghayati kegemilangan silam bukanlah memujuk hati tapi mengambil iktibar.

Sejauh manakah pengetahuan rakyat terhadap sukan?

ANISAH: Mereka lebih tahu tentang sukan. Dalam kajian saya mengenai konsumer sukan, mereka tidak datang menyaksikan acara sukan sebab tidak mendapat kepuasan. Kalau mereka pergi menyaksikan perlawanan bola sepak tetapi tidak mendapat kepuasan, lama-lama mereka akan bosan. Peminat sukan kita bukan tidak ada semangat patriotik tetapi kalau mereka disajikan dengan mutu persembahan yang rendah, mereka malas untuk menonton lagi. Tetapi mereka tidak tahu hendak menyalurkan pendapat, maka tindakannya mereka memulaukan acara sukan itu.

Apakah makna sukan kepada sesetengah peneraju persatuan sukan kita yang bukan terdiri daripada kalangan profesional?

ANISAH: Makna sukan kepada mereka ialah kalah atau menang. Masyarakat pun memahami kejayaan sukan adalah kalah atau menang. Berapa pingat emas yang dapat dikumpul. Kalau tidak dapat pingat, maknanya tidak berjaya. Inilah yang difahami oleh sebahagian besar kalangan kita. Sepatutnya kejayaan dilihat daripada pembangunan, peningkatan dan industri-industri lain yang berkaitan dengan sukan. Sukan menjadi kecil kalau kita hanya mengukur kalah atau menang. Kita kena lihat sukan daripada persepsi lebih luas.

Tetapi di luar negara juga ada tokoh politik terajui persatuan sukan. Apa bezanya dengan kita?

ANISAH: Daripada kajian yang dibuat, negara seperti di Amerika Latin dan Australia, penglibatan tokoh politik dalam persatuan akan hanya memanipulasikan geran persatuan. Tetapi di Malaysia, manipulasi geran seperti ini wujud atau tidak. Tetapi seperti negara ini juga, di luar negara penglibatan tokoh politik adalah untuk tujuan establishment persatuan-persatuan berkenaan.

Maknanya di luar negara pun ada tokoh politik yang memimpin persatuan sukan?

ANISAH: Dulu di luar negara memang menjadi amalan Tetapi daripada banyak kajian, amalan ini tidak memberi kebaikan kepada persatuan. Antaranya kalau melibatkan tokoh politik, mereka pula akan mewujudkan sentimen perkauman. Tokoh yang mempunyai ideologi dan bias kepada kaum tertentu, pengaruh itu akan dibawa dalam persatuan. Ini menyukarkan persatuan untuk maju misalnya kalau yang pegang persatuan itu orang putih, hanya orang putih yang mendapat perhatian.

Persatuan sukan kita juga ada sentimen kaum?

ANISAH: Ada juga dalam sesetengah persatuan sukan kita. Dalam kajian saya, ada bakat-bakat dari kaum A misalnya tetapi yang ke depan ialah kaum B sebab peneraju persatuan ialah kaum B.

Sikap kita selalunya kalau kalah teruk adalah yang cuba cuci tangan. Kenapa jadi begini?

ANISAH: Kalau kalah teruk kita tak boleh nak tuding jari. Macam pemilihan jurulatih, ada kalanya kita pun tak tau adakah dia betul-betul hebat sebagai jurulatih dalam bola sepak. Lainlah kalau kita letak macam Dollah Salleh, semua orang kenal. Tetapi yang buat pemilihan adalah peneraju persatuan sukan itu.

Secara umum apakah persepsi persatuan-persatuan terhadap sukan dalam konteks hari ini?

ANISAH: Saya fikir tidak ada orang yang bercakap tentang persepsi ini. Mereka cuma tengok kenapa tak boleh menang, kenapa tak boleh dapat gol. Mengapa tidak dapat pingat emas. Kalau mereka bincangkan pun, dalam persatuan sukan tidak banyak yang celik mata tentang sukan. Kalau tahu tentang sukan mereka hanya tahu tentang permainan tetapi tidak tahu di segi teknologi sukan, industri sukan dan pemasaran sukan. Di Amerika Syarikat misalnya industri sukan lebih daripada industri automobil.

Utusan

No comments: