Wednesday, 25 March 2009

KOAM perkenal kod etika pemimpin

Oleh Ahmad Khawari Isa

ahmadkhawari@bharian.com.my

TINDAKAN salah laku dan isu kegoyahan integriti pemimpin-pemimpin sukan negara sejak kebelakangan ini mendorong Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menimbang kemungkinan memperkenalkan kod etika pemimpin.

Malah kemungkinan itu kian nyata apabila Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar membangkitkannya pada seminar Majlis Olimpik Asia (OCA) di Kuwait, baru-baru ini.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, mengakui garis panduan itu penting, tambahan pula senario sukan negara sudah jauh berbeza daripada sebelumnya.

“Apa yang pasti ialah senario sukan negara sudah berubah. Jika dahulu, ia lebih kepada semangat penyertaan, tetapi pelbagai kepentingan - termasuk aspek komersil - mengubahnya.

“Ia juga mewujudkan pelbagai kekeliruan, terutama segi konflik kepentingan di kalangan pegawai dan pemimpin. Memang MOM sedang menimbang kerana pengenalan kod etika adalah bagus,” katanya.

Kok Chi mengakui betapa MOM sendiri - dalam perlembagaan badan induk itu - ada mempunyai beberapa peruntukan untuk mengawal tingkah laku pemimpinnya, terutama mengenai isu konflik kepentingan.

“Halangannya ketika ini ialah kebanyakan persatuan sukan kebangsaan tidak mempunyai peruntukan itu dalam perlembagaan masing-masing. Kami akan kaji dahulu sebelum membentangkan cadangan kepada semua ahli gabungan,” katanya.

Menariknya, antara faktor mendesak pengenalan kod itu berkait dengan MOM - apabila pemimpin kanannya memegang peranan dalam syarikat terbabit dengan ‘pertelagahan’ Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) dan Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan (POAWP) berhubung penganjuran Maraton Kuala Lumpur.

Selain itu, garis panduan itu juga mampu jadi penghalang kepada pemimpin dan pegawai untuk ‘suka-suka’ menyalahgunakan kuasa mereka - elemen kini dikatakan menjelma dalam isu tindakan disiplin terhadap dua atlit lawn bowl negara.

Turut harus terkandung dalam kod etika itu ialah tindakan terhadap pemimpin dan pegawai cuba berdolak dalih - seperti isu peruntukan kewangan RM3.5 juta kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang laporan kewangannya belum dikemukakan sehingga kini.

No comments: