Wednesday, 21 January 2009

Siapa hutang siapa: Kok Chi

Oleh Oleh Lukman Salleh

lukmsal@bharian.com.my


RAYZAMSHAH Wan Sofian antara atlit yang menyumbang emas untuk negara pada Sukan Sea Korat 2007.

'Mungkin Shahidan tak dapat penjelasan daripada pegawai persatuan'

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgCgzqGKqq30naD9EsW6ueLDSYEy4Cybg2OcttJNzECylRYo8Iurxv5NqvMGFXZ3wgdjauq2RZkqI0ihHe29IPN49cM_7SGB4sVMTOIPcOP7h63LEbqeTjh_t6OTjEESD3uxfeJXLdGOd5C/s320/KokChi.jpg

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) tidak berhutang kepada mana-mana persatuan sukan kebangsaan tetapi keadaan adalah sebaliknya dengan persatuan sukan kebangsaan itu masih belum melangsaikan baki tertunggak yang didahulukan untuk beraksi pada Sukan Sea 2007 di Korat.

Malah, sekiranya Datuk Seri Shahidan Kassim - presiden kepada tiga persatuan sukan kebangsaan iaitu olahraga, renang dan petanque - merujuk terlebih dulu dengan persatuannya sudah tentu tidak akan mengeluarkan kenyataan melulu menuduh MOM berhutang kepada persatuannya.

Ahad lalu, selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga eksekutif KOAM, Shahidan dipetik sebagai berkata MOM belum membayar tunggakan bernilai RM60,000 sebagai kos pembiayaan atlit di bawah Kategori B ke Korat.

“Kami tidak berhutang kepada mana-mana persatuan sukan kebangsaan,” kata Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, semalam. “Segala bayaran kepada persatuan yang atlitnya berjaya memenangi pingat emas dan perak sudah pun dilunaskan.

“Namun, masih ada beberapa persatuan sukan kebangsaan yang belum menjelaskan bayaran mereka kepada MOM iaitu wang pendahuluan yang diberi untuk membiayai atlit mereka menyertai Sukan Sea Korat di bawah kategori B.

“Dan jika persatuan sukan ini tidak menjelaskan apa juga baki kepada MOM, maka mereka tidak akan dibenarkan untuk menghantar atlit masing-masing ke Sukan Sea Laos, Disember ini.

“Merujuk kepada dakwaan Shahidan bahawa MOM belum menjelaskan bayaran untuk atlit olahraga, renang dan petanque yang beraksi di Korat jelas ia kenyataan tidak tepat dan mungkin Shahidan tidak mendapat penjelasan pegawai persatuan sukan masing-masing.

“Sebaliknya MOM sudah pun membayar semula kepada renang dan olahraga mengikut nilai atlitnya yang berjaya memenangi emas dan perak,” kata Kok Chi.

Berdasarkan rekod, sembilan atlit olahraga dibiayai KOAM bawah kategori B dengan hanya dua berjaya memenangi gangsa, sekali gus layak mendapat bayaran semula 50 peratus iaitu RM2,122 dengan ceknya sudah pun sedia ada dan hanya menanti pegawai KOAM menuntutnya.

Daripada lapan perenang, dua memenangi emas dan dua lagi gangsa dan sejumlah RM7,990 sudah pun diserahkan kepada Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) pada 9 April tahun lalu manakala untuk petanque pula daripada 13 atlitnya di bawah kategori B, tidak seorang pun memenangi pingat sekali gus tidak layak menerima bayaran semula.

“Dalam kategori B ini, bagi atlit yang memenangi emas dan perak, MOM akan membayar semula 100 peratus manakala gangsa, kami memberi 50 peratus. Peraturan kami sudah jelas dan nyata,” kata Kok Chi.

Berita Harian

No comments: