Thursday, 29 January 2009

MOM gesa persatuan akur krisis ekonomi global



Datuk Sieh Kok Chi

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) meminta semua persatuan sukan kebangsaan mengamalkan sikap berjimat cermat dalam menguruskan dana disalurkan Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai langkah menghadapi krisis ekonomi global.

Ini termasuk memilih kejohanan yang ditakrif perlu sahaja bagi atlit negara dan bukan hampir semua dalam kalendar sukan antarabangsa semata-mata dengan tujuan mahu memberi pendedahan.

Setiausaha Kehormatnya, Datuk Sieh Kok Chi berkata persatuan sukan, terutama yang kurang popular perlu bijak menguruskan dana kewangan mereka agar tidak menjejaskan kegiatan atlit negara, khususnya dalam persiapan menghadapi beberapa kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Sea di Laos, Disember ini.

“Persatuan yang hanya bergantung kepada peruntukan dana daripada MSN perlu amalkan perbelanjaan berhemah dalam menganjurkan kegiatan mereka bagi mengelak berlakunya pembaziran,” katanya, semalam.

Katanya, kegagalan persatuan dalam menguruskan sumber kewangan akan mengundang padah kepada atlit yang bernaung di bawah persatuan itu.

“Dalam keadaan iklim ekonomi yang kurang menentu ini saya percaya adalah agak sukar bagi persatuan sukan yang kurang popular untuk mendapat sumbangan atau pun tajaan daripada badan korporat,” katanya.

Pada tahun ini MSN hanya menerima peruntukan berjumlah RM170 juta berbanding RM230 juta pada 2008 dan sehubungan itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong meminta semua persatuan sukan kebangsaan lebih berhemah dalam merangka perbelanjaan mereka.

Bagaimanapun, MSN tidak mengurangkan peruntukan kewangan kepada tiga sukan yang dikenalpasti berpotensi untuk ‘menggegar’ pada Sukan Olimpik 2012 di England iaitu badminton, berbasikal dan memanah. - Bernama

No comments: