
AKADEMI Badminton Kebangsaan akan diwujudkan di Cheras.
Demikian pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis Konvensyen Sukan Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra di ibu negara semalam.
Najib mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memperuntukan RM24 bagi menubuhkan akademi tersebut.
Menurutnya penubuhan akademi tersebut adalah sebagai ganjaran kepada sukan badminton selaku satu-satunya acara sukan yang menghadiahkan pingat Sukan Olimpik kepada negara.
"Badminton merupakan sukan yang berpotensi untuk menghadiahkan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik dan akademi ini merupakan ganjaran atas kejayaan-kejayaan yang diraih sebelum ini," kata Najib.
"Akademi yang akan didirikan di Cheras ini dianggarkan menelan belanja RM23 atau RM24 juta dan bakal menjadi pusat kecemerlangan untuk melatih pemain badminton yang mempunyai potensi mengharumkan nama negara."
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Nadzmi Salleh menjelaskan, pusat akademi badminton tersebut akan menjadi sebuah pusat kecemerlangan yang lengkap dan bakal menjadi pusat latihan badminton terbaik di dunia.
"Pada ketika ini, pemain kita menjalani latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara dan juga di Bukit Jalil tetapi latihan mereka sering terganggu sekiranya gelanggang latihan mereka digunakan untuk acara-acara lain," kata Nadzmi.
"Oleh itu, pusat akademi badminton ini merupakan gelanggang terbaik untuk pemain-pemain elit negara menjalani latihan dengan lebih teratur.
"Pada ketika ini, kita masih di peringkat perancangan mengenai pelan bangunannya dan saya mengharapkan sebuah pusat kecemerlangan dengan reka bentuk yang sempurna boleh menjadi pusat latihan badminton terbaik di dunia," kata Nadzmi.
"Kami juga mahukan sebuah pusat latihan dengan konsep yang berbeza dilengkapi dengan segala kemudahan yang diperlukan.
"Pusat ini bakal dilengkapi dengan 30 buah gelanggang, asrama, gimnasium, kantin serta kemudahan-kemudahan lain untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Malah, kami juga ingin menyediakan kemudahan kamera di beberapa buah gelanggang agar pemain dapat merakam semula permainan atau latihan untuk dijadikan kajian.
"Ini penting supaya pemain dan jurulatih dapat mencari formula untuk meningkatkan lagi mutu permainan agar dapat terus bersaing dengan pemain-pemain terkemuka dunia."
Sementara itu, Nadzmi juga berharap agar akademi tersebut dapat menjana kewangan sendiri pada masa akan datang agar ia tidak terlalu bergantung kepada pihak kerajaan mahu pun persatuan untuk beroperasi.
"Mungkin kami akan menerima pemain dari luar negara yang ingin menjalani latihan di sini sebagai salah satu usaha menjana pendapatan selagi ia tidak mengganggu latihan pemain negara," tambah Nadzmi.
No comments:
Post a Comment