Wednesday, 12 November 2008

Kok Chi risau maklumat tidak sampai

bhsukan@bharian.com.my

'Ketiadaan saluran, ada yang terpaksa guna media'

RUANG bersuara yang dijelmakan menerusi Konvensyen Sukan Kebangsaan, jelas dihargai. Tetapi ia belum cukup untuk memastikan segala maklumat dan reaksi balas terhadap perancangan sukan negara dihimpunkan.

Lantas, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi (gambar), mendesak supaya satu saluran khas diwujudkan untuk memastikan 'perkongsian' sebegitu terlaksana.

"Apa perlu diwujudkan ialah satu saluran yang boleh digunakan oleh persatuan sukan kebangsaan untuk memberikan idea ataupun cadangan. Ia penting demi memastikan proses perkongsian maklumat dilakukan.


"Ketika ini, tiada saluran sebegitu. Contohnya, apabila saya bersuara mempertikaikan kehadiran ramai pegawai asing dalam sukan negara, saya sebaliknya dilabel dengan pelbagai label.

"Kerana ketiadaan saluran itu, ada yang terpaksa menggunakan media untuk meluahkan pendapat. Ianya mampu berlangsung dengan baik jika saluran khas sebegini disediakan," katanya ketika bengkel percambahan minda pada Konvensyen Sukan Kebangsan, semalam.

Saranan itu jelas ditujukan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara yang ada ketikanya tampak bertindak bersendirian tanpa mengambil kira pendapat serta pandangan MOM serta persatuan sukan kebangsaan.

Antara contohnya ialah cadangan pindaan Akta Pembangunan Sukan 1997 yang drafnya dilakukan hanya oleh KBS dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan. Apabila MOM bertindak menyuarakan secara terbuka rasa tidak puas hati, barulah pendapat badan induk itu diminta.

Pendapat itu tampak disokong Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan, S Vegiyathuman, yang melahirkan rasa hairan dengan sikap MSN secara tiba-tiba sebelumnya memansuhkan Program Sukan Teras.

"MSN melakukan program itu, tetapi kemudiannya memansuhkannya, tanpa langsung mengambil kira reaksi balas daripada persatuan sukan kebangsaan," katanya.

Program Sukan Teras itu bagaimanapun disambung tidak lama kemudiannya dengan penambahan daripada lapan jenis sukan kepada 19 ketika ini.


No comments: