
PASANGAN Koo Kien Keat-Tan Boon Heong perlu perlu ikhlas dengan diri masing-masing jika mahu terus menjadi gandingan yang disegani di dunia, kata Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi.
Katanya, banyak perkara yang diperkatakan terhadap Kien Keat dan Boon Heong mengenai aktiviti mereka di luar badminton dan mereka perlu menjawab isu-isu itu supaya tidak timbul andaian yang boleh menambahkan lagi suasana tidak menentu di antara mereka.
“Rexy lebih tahu mengenai peribadi Kien Kiat dan Boon Heong,” kata Kok Chi mengulas polemik membabitkan pasangan muda negara ini.
“Dia yang bertanggungjawab menaikkan nama mereka, membentuk mereka menjadi beregu utama dunia dan pastinya dia lebih arif akan masalah yang di hadapi pasangan ini.
“Semua orang ingin tahu apa sebenarnya masalah yang dihadapi pasangan ini dan bagi saya, Rexy mungkin sudah ada jawapannya tetapi belum dapat menguruskannya dengan berkesan.
“Rexy perlu duduk berbincang secara hati ke hati serta ikhlas dengan kedua-dua pemain ini. Jika sudah sampai ke tahap jalan buntu, mungkin sudah tiba masanya Rexy perlu menyerahkan kepada Kien Keat dan Boon Heong untuk membuat keputusan sendiri mengenai gandingan mereka.
“Biar pasangan ini putuskan masa depan mereka apa sebenarnya yang mereka mahukan daripada pasangan masing-masing. Dan jika perlu berjumpa dengan keluarga kedua-dua pemain ini demi untuk kerjaya mereka, maka itulah langkah yang perlu dipertimbangkan Rexy,” kata Kok Chi.
Persembahan buruk Kien Keat-Boon Heong pada Sukan Olimpik Beijing berterusan apabila tewas di suku akhir kepada gandingan Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan selepas persembahan yang memberi harapan di peringkat awal.
Daripada beregu handalan dunia tidak sampai enam bulan selepas mereka digandingkan untuk Sukan Asia Doha 2006, Kien Keat-Boon Heong hilang arah terus menjunam prestasi mereka bermula pertengahan tahun lalu hingga sekarang.
BH
No comments:
Post a Comment