
KERAJAAN di lima negeri yang diperintah pembangkang diminta tidak melencongkan peruntukan bagi pembangunan sukan untuk kegunaan lain, bagi memastikan sukan di negeri terbabit berkembang sejajar dengan usaha melahirkan lebih ramai atlit bertaraf dunia.
Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, berkata oleh kerana Malaysia mempunyai sistem persekutuan yang kuat, kemungkinan lima negeri terbabit tidak akan mendapat banyak peruntukan bagi tujuan sukan seperti yang diterima sebelum ini.
"Kami bimbang dana untuk mereka daripada persekutuan akan berkurangan, menyaksikan kerajaan negeri terpaksa mengecilkan pecahan dana untuk program sukan termasuk penyediaan lokasi riadah.
"Andai perkara ini tidak diperhalusi, wujud kebimbangan pembangunan sukan di negeri terbabit akan terjejas lebih-lebih lagi berhubung dana untuk Majlis Sukan Negeri-Negeri (MSNN)," katanya.
Pada pilihan raya umum lalu, lima negeri diterajui pembangkang iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, mencetuskan kebimbangan kerajaan baru kelak tidak akan menghiraukan aspek pembangunan sukan kerana memilih mahu mengotakan janji pilihan raya.
Selain itu, Kok Chi berharap, negeri yang ditadbir oleh Menteri Besar daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS), tidak menyekat penyertaan atlit wanita dalam semua acara sukan kerana menyedari agama turut menggalakkan kegiatan sukan dan riadah.
"Kami harap mereka mengotakan janji untuk tidak melakukan perubahan ketara pada negeri-negeri yang ditawan dan ini termasuk dalam aspek pembangunan sukan.
"MOM tidak mahu bakat muda wanita negara hilang begitu saja kerana dihalang daripada terbabit dalam sukan," katanya sambil menambah, isu penajaan ke atas persatuan sukan negeri tertentu mungkin turut terjejas andai kerajaan baru ini tidak menghiraukan aspek sukan dalam pentadbiran mereka.
Katanya, kerajaan baru yang bakal dibentuk kelak diharap akan bersama-sama membangunkan sukan kerana ia bukan saja bertujuan mencari bakat baru untuk mengharumkan negara, tetapi ia juga bagi tujuan kesihatan.
Selangor, Pulau Pinang dan Perak sebelum ini adalah antara negeri utama yang banyak melahirkan atlit berwibawa terutama menerusi Sukma, selepas kerajaan negeri memperuntukan banyak dana untuk tujuan pembangunan sukan serta infrastruktur sukan
No comments:
Post a Comment