KETIADAAN pengumuman rasmi ranking persatuan dalam sistem rating Majlis Olimpik Malaysia (MOM) minggu lalu menyaksikan sesetengah persatuan terus berada dalam keadaan terpinga-pinga mengenai kedudukan mereka.
Berikutan itu kekeliruan kini menyelubungi Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) yang enggan mendedahkan kedudukan mereka dalam sistem rating yang menilai keberkesanan persatuan dari segi pentadbiran, program pembangunan serta pencapaian atlit di peringkat antarabangsa kerana beranggapan ia adalah tanggungjawab MOM.
"Saya tidak mahu berkata apa-apa mengenai rating kami (SRAM). Bukankah ia adalah tanggungjawab MOM untuk mengumumkannya," kata Pengurus Besar SRAM, Peter Chee ketika dihubungi.
Selasa lalu, MOM mengumumkan senarai muktamad ranking persatuan tetapi tidak menamakan persatuan tersebut kerana menyerahkannya kepada persatuan masing-masing untuk berbuat demikian.
Setakat ini dua persatuan daripada tiga yang disenaraikan dalam kategori cemerlang lima bintang mengesahkan diri iaitu Persatuan Lawn Bowl Malaysia (PLBM) dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia.
Identiti satu lagi persatuan masih tanda tanya dengan skuasy berkemungkinan besar mengisi slot terakhir itu ketika calon pilihan seperti badminton, bowling dan renang menolak andaian itu minggu lalu.
Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi hairan dengan gelagat persatuan yang tidak mahu mengumumkan rating mereka kerana mereka sudah dimaklumkan mengenainya pada mesyuarat minggu lalu.
"Mengapa mereka berkata mereka tak mengetahui mengenainya. PSM sudah mengumumkan mereka mendapat lima bintang.
"Kami sudah memberitahu mereka pada mesyuarat lalu. Kalau begini, saya perlu memaklumkan kedudukan secara rasmi kepada mereka nanti," katanya.
Sistem rating diperkenalkan buat pertama kali sebagai Indek Petunjuk Prestasi (KPI) bagi menentukan jumlah peruntukan yang sewajarnya disalurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) kepada setiap persatuan.
Secara keseluruhan sebanyak 47 persatuan menghantar laporan prestasi mereka kepada MOM untuk dinilai kecuali dua persatuan yang gagal menyerahkan laporan itu iaitu sukan ekstrim dan sukan tarian
No comments:
Post a Comment