Friday, 21 March 2008

Banyak persatuan EGO: Kok Chi


Oleh Meor Hisham Zulkifli

EGO dan sikap mengambil mudah, menjadi punca banyak persatuan sukan di negara ini mendapat markah rendah dalam sistem rating dilaksanakan Majlis Sukan Olimpik (MOM), baru-baru ini.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi menegaskan, banyak persatuan sukan tidak mahu hadir berbincang dengan pihaknya mengenai sebarang masalah dan keperluan mereka, menyaksikan persatuan yang mereka pimpin gagal berfungsi dengan berkesan.

“Sejak dulu lagi kita agak kecewa kerana persatuan sukan lebih suka menyendiri. Tak tahu sama ada disebabkan ego atau sebaliknya. Mereka cuba menyembunyikan dan tidak mahu membentangkan masalah mereka kepada MOM, termasuk sewaktu mesyuarat anggota majlis.


“Malah, surat meminta persatuan sukan mengemukakan apakah tiga keperluan utama mereka bagi membolehkan MOM tampil membantu, turut tidak diendahkan. Satu pun persatuan tidak membalas surat berkenaan,” katanya di Wisma MOM, semalam.

Minggu lalu, MOM mengumumkan, daripada 47 persatuan induk yang mengembalikan borang soal selidik, tiga persatuan diberi taraf tertinggi lima bintang, sembilan (empat bintang), 14 (tiga bintang) lapan persatuan (dua bintang), lima badan meraih satu bintang dan lapan lagi tidak mendapat sebarang bintang.

Sambil mengakui kemungkinan ada persatuan yang cuba memalsukan fakta soal selidik itu bagi meraih kedudukan lebih tinggi, Kok Chi menegaskan, MOM turut menjalankan semakan bagi meminimumkan penipuan serta memastikan jawapan yang diberi tepat berasaskan hakikat semasa.

“Memang kita mengesan ada persatuan yang cuba menipu dengan memasukkan kejayaan di peringkat dunia. Bagaimanapun, kita berjaya mengesannya. Kita akan memperkemaskan aspek penilaian oleh MOM ini pada masa akan datang.

“Sistem ini sebenarnya amat baik tetapi semua pemimpin persatuan perlu jujur bagi memastikan MOM dapat mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada pasukan yang bermasalah,” katanya.

Beliau berkata, MOM sedia memberikan segala bentuk bantuan kepada persatuan termasuk kewangan kepada persatuan bermasalah dengan syarat tidak digunakan bagi tujuan membaik pulih pejabat, membuat pakaian seragam atau mengadakan kursus di hotel mewah, umpamanya.

No comments: