Tuesday, 5 February 2008

Kemelut PSM: MOM rayu Istaf 'lembut' hukuman

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) sudah menghantar surat rayuan kepada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) untuk menimbang penggantungan terhadap Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).


Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata surat itu dihantar kepada Presiden Istaf sendiri, Jeneral Charouck Arirachakaran, Jumaat lalu.

“Bagaimanapun, surat rayuan MOM itu hanya meminta Istaf mempertimbangkan penggantungan PSM sahaja dan tidak membabitkan hukuman terhadap presidennya, Datuk Ahmad Ismail,” katanya, semalam.

Beliau berkata pemain bukan sahaja tidak boleh bertanding di luar negara apabila PSM digantung tetapi juga tidak boleh mengambil bahagian dalam sebarang pertandingan sukan itu di dalam negara.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa hukuman terhadap PSM itu dibuat oleh tiga anggota exco Istaf sahaja dan bukannya jawatankuasa disiplin badan induk sepaktakraw dunia itu, Kok Chi berkata Charouck sendiri menghubungi beliau berhubung perkara itu.

“Walaupun ada pihak yang tidak mengiktiraf keputusan penggantungan itu, pada hakikatnya, Istaf menggantung PSM. Bagi MOM, kebajikan pemain serta perkembangan sukan itu sendiri lebih penting daripada kepentingan lain,” katanya. - Bernama


Badan induk sepak takraw dunia itu pada mesyuarat di Bangkok 26 Januari lalu menggantung keanggotaan PSM dan presidennya, Ahmad sebagai Timbalan Presiden 1 Istaf kerana melanggar perlembagaan Istaf berhubung dakwaan cuba menubuhkan sebuah persatuan sepak takraw baru di peringkat dunia.

Bagaimanapun, mesyuarat Istaf itu tidak memutuskan tempoh penggantungan sebaliknya menubuhkan satu badan untuk menyiasat dan mengkaji kenyataan akhbar PSM dan Ahmad yang diterbitkan di Malaysia bagi menentukan bentuk hukuman kelak.

Kok Chi berkata dalam surat berkenaan, MOM juga meminta penjelasan lanjut berikutan penggantungan itu kerana hukuman itu boleh melumpuhkan semua aktiviti sepak takraw di negara ini.

No comments: