
MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) tidak mahu campur tangan atau menjadi orang tengah dalam perbalahan antara ahli gabungannya Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan badan induk dunia Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).
Sebaliknya, badan induk itu berpendapat PSM perlu membawa kemelut itu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) untuk mencari jalan penyelesaian dan berdasarkan fakta yang dibentangkan PSM kepada MOM kelmarin, badan induk kebangsaan itu memiliki peluang besar untuk menang.
MOM juga tidak menyokong ataupun menentang pendirian “penentangan” yang diambil PSM dalam perbalahan mengenai bola sepak takraw bersalut getah kerana ia hanya mendengar penjelasan sebelah pihak, yang agak kabur.
“Pada pendapat saya, jika PSM merasakan mereka mempunyai kes yang kukuh maka saya cadangkan mereka mengemukakan permasalahan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan,” kata Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi.
“MOM tidak boleh campur tangan ataupun cuba menjadi orang tengah dalam pertikaian ini.
“Berdasarkan kepada bukti dikemukakan kepada Lembaga Eksekutif MOM, saya berpendapat PSM mempunyai peluang untuk memenangi kes mereka. PSM perlu mempertimbangkan pilihan ini jika mereka tidak dapat menyelesaikan kemelut dengan Istaf dan Astaf.
“Jika kes yang mereka bawa ini adalah berdasarkan kepada data atau isu teknikal maka saya yakin mereka akan mendapat keputusan yang berpihak kepada mereka,” katanya.
Kok Chi mengemukakan pendapatnya itu sehari selepas PSM, diketuai Presidennya Datuk Ahmad Ismail mengadap Lembaga Eksekutif MOM untuk menjelaskan keputusan mereka menarik diri daripada Sukan Sea di Korat, Disember lalu.
Antara alasan utama penarikan diri itu ialah pemain terdedah kepada risiko kecederaan dan kelmarin Ahmad mendedahkan laporan kajian saintifik sebuah universiti bahawa bola Marathon Gen II 903/904 adalah empat kali ganda atau 400 peratus lebih berisiko mendatangkan kecederaan terhadap pemain.
Bagaimanapun, fakta kajian perubatan itu hanya disampaikan melalui mulut oleh Ahmad kepada Lembaga Eksekutif MOM tanpa mengedarkan salinan data bagi menyokong kesahihan kajian berkenaan ataupun universiti yang membuat kajian.
Selain itu difahamkan juga, ketika pertemuan Presiden PSM itu berkata skuad Sukan Sea tidak diletakkan harapan untuk menang di Korat memandangkan ia diterajui pemain baru dan dipersiapkan bagi menghadapi saingan Sukan Asia 2010.
“Lembaga Eksekutif PSM akan meneliti semua penjelasan dan laporan diberikan PSM sebelum hadir dengan sebarang keputusan,” kata Kok Chi.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment