Thursday, 24 January 2008

MOM harap PSM 'sudi hadir' mesyuarat Majlis

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) berharap Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan meluangkan masa untuk menghadiri mesyuarat Majlis badan induk itu Sabtu ini - sesuatu yang gagal dilakukan persatuan itu sejak lima tahun lalu - bagi sama-sama membantu menyelesaikan kemelut yang melanda sukan itu.


Setiausaha Agungnya, Datuk Sieh Kok Chi, berkata walaupun masalah yang melanda PSM ini adalah perbalahan dalaman dengan badan induk - Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) - MOM bersedia untuk berbincang isu itu.

Apa lagi ketika ini, PSM, Istaf dan Astaf terbabit dalam perang mulut dengan kenyataan retorik tanpa ada usaha ikhlas cuba mencari jalan penyelesaian demi sukan itu.

“MOM berharap PSM akan hadir pada mesyuarat Majlis kali ini,” kata Kok Chi. “Memang mereka tidak pernah hadir dalam mesyuarat Majlis sejak lima tahun lalu dan saya kecewa dengan sikap mereka ini dan juga persatuan lain yang juga berkelakuan sedemikian. “Jika PSM hadir mungkin mereka boleh membangkitkan kemelut yang melanda dan Majlis boleh sama-sama berbincang dan membantu persatuan itu menyelesaikan perbalahan dengan Istaf dan Astaf secara baik. “Walaupun PSM mungkin melihat ia sebagai isu dalaman membabitkan diri mereka dengan badan induk tetapi MOM bersedia mencari jalan penyelesaian. Untuk itu, MOM akan menulis surat kepada PSM untuk meminta kehadiran mereka.” Perbalahan antara PSM dengan Istaf dan Astaf, yang bermula dengan masalah penggunaan bola baru bersalut getah, sudah bertukar menjadi “perlawanan menunjuk siapa jaguh.”dengan kedua-dua pihak mengeluarkan pelbagai kenyataan, bukan untuk mencari jalan penyelesaian sebaliknya memanjangkan lagi sengketa itu. Ia sekali gus menimbulkan persoalan sama ada PSM dan Istaf mahupun Astaf ikhlas untuk mencari jalan penyelesaian atau satu sekadar terbabit dalam ‘permainan politik.’ Bagi Kok Chi, jika PSM bertegas dengan ancaman mereka untuk keluar daripada Istaf, maka badan induk itu mengambil risiko yang cukup besar termasuk kehilangan keahlian dalam MOM secara automatik. “Syarat MOM bagi persatuan yang ingin menjadi ahli gabungan ialah perlu terlebih dahulu mendapatkan pengiktirafan daripada badan induk antarabangsa yang disahkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa ataupun Asia.” Berita Harian

No comments: