
BINTANG skuasy Malaysia, Nicol Ann David dinobatkan selaku Olahragawati Asia, semalam pada majlis Anugerah Sukan Asia (ASA) yang pertama kali diperkenalkan oleh Asian Sports Press Union (ASPU).
Pemain skuasy nombor satu dunia itu menewaskan atlit angkat berat dari Thailand, Paweena Thongsuk dan Jin Sun Yu (Sukan Musim Sejuk) dari Korea Selatan.
Pada majlis sama, ASPU turut mengumumkan jaguh 110 meter berpagar lelaki dari China, Liu Xiang yang juga pemegang rekod dunia acara berkenaan sebagai Olahragawan Asia.
Pemenang lain ialah pasukan short track speed skating dari Korea Selatan (Pasukan Terbaik Asia - Lelaki), beregu badminton China, Gao Ling-Huang Sui (Pasukan Terbaik Asia - Wanita), lagenda tenis India, K Ramanathan (Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat) dan bekas bintang kriket Pakistan, Imran Khan (Anugerah Kemanusiaan).
Naib Presiden ASPU, George Dass berkata anugerah itu dengan kerjasama Stropt & Sports Limited (Hong Kong) diberikan kepada atlit Asia yang menjadi contoh dan mendorong minat berjuta orang di Asia, dalam bidang masing-masing.
Katanya, Nicol dan Liu dipilih daripada 100 pencalonan dari 25 badan sukan dan Majlis Olimpik Kebangsaan 15 negara Asia.
"Kita mempunyai panel hakim yang terdiri daripada wartawan dan pentadbir sukan terkemuka di Asia untuk meneliti calon," kata George kepada pemberita semasa mengumumkan pemenang di Kuala Lumpur, semalam.
Panel hakim terdiri daripada Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Dr M Jegathesan, wakil ASPU, Eswar Ramachandran (India) dan Faisal Al-Qanai (Kuwait) serta George.
Nicol, 23, dinobatkan pemain nombor satu dunia Januari, tahun lalu.
No comments:
Post a Comment