Thursday, 27 December 2007

Kok Chi kecam pemimpin cari makan dalam persatuan

KEWUJUDAN golongan yang mencari makan daripada persatuan menjadi punca kegagalan negara melahirkan ramai atlit bertaraf dunia selain mengakibatkan banyak badan sukan menghadapi kemelut dalaman.


Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, berkata ada pemimpin menjadikan persatuan sebagai punca pendapatan atau tempat meraih agenda peribadi menyaksikan suasana dalam persatuan menjadi tegang.

"Bila ada jurulatih atau pemimpin kelab yang menduduki jawatankuasa induk, wujud percanggahan kepentingan antara kepentingan diri dan keutamaan mentadbir persatuan dengan baik.


"Bagaimana persatuan hendak stabil jika wujud ramai golongan seperti ini dalam persatuan, menyaksikan perebutan berlaku untuk meraih kepentingan kewangan dan diri," katanya.

Kok Chi berkata, jalan penyelesaian perlu segera dicari bagi menangani perkara itu kerana bimbang kehadiran pemimpin begitu boleh menjejaskan usaha negara melahirkan atlit berkualiti dan bertaraf dunia.

"Mereka berebut-rebut mendapat jawatan dalam persatuan demi memburu kepentingan diri menyebabkan tujuan sebenar persatuan itu adalah untuk melahirkan atlit. Kebajikan atlit turut terbiar ketika golongan ini lebih mengutamakan politik dalaman daripada atlit."

"Kita harap mereka perlu duduk berbincang dan mencari penyelesaian supaya semua pihak dapat menyelesaikan perkara ini dengan baik sejajar dengan konsep menang-menang," katanya.

Kenyataan itu kelihatan merujuk kepada beberapa persatuan sukan negara yang dilanda masalah dalaman yang menyaksikan sukan terbabit gagal memberikan sumbangan pingat yang bermakna untuk negara ketika Sukan Sea di Korat, awal bulan ini.

Terbaru, krisis melanda sukan tarian apabila kebanyakan ahli jawatankuasa adalah pemimpin atau pemilik kelab persendirian dengan beberapa individu berebut-rebut mendapatkan keanggotaan atau kepentingan diri, mencetuskan perseteruan.

Sebelum ini, krisis sama turut berlaku dalam sukan taekwondo sehingga menyaksikan persatuan berkenaan digantung selama dua tahun, namun kini kepemimpinan baru taekwondo berjaya menyelesaikan perkara itu dengan baik.

"MOM berharap akan muncul pemimpin sukan yang benar-benar mahu melihat kemajuan sukan di negara ini dan cintakan sukan yang dipilih bagi melahirkan atlit berwibawa berbanding mereka yang semata-mata mahu mengejar kepentingan diri.

"Matlamat persatuan adalah untuk menjaga kebajikan dan melahirkan jagoan, bukannya menjadikan persatuan alat untuk mereka meraih manfaat politik atau kewangan dan sebagai platform untuk sentiasa melancong keluar negara."

Berita Harian

No comments: