Wednesday, 5 December 2007

AirAsia taja penerbangan atlit


SYARIKAT penerbangan tambang murah, AirAsia, semalam memeterai perjanjian bersama dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menjadi syarikat penerbangan rasmi penaung persatuan sukan di negara ini dari tahun 2007 sehingga 2009.

Perjanjian yang pertama antara MOM dan AirAsia, menyaksikan syarikat penerbangan itu menaja perjalanan kontinjen 400 atlit dan pegawai Malaysia ke Sukan Sea di Korat, Sukan Pantai Asia 2008, Bali dan Sukan Olimpik 2008 di Beijing.

Penerbangan ke Beijing direalisasikan menerusi pengenalan 80 destinasi baru Air Asia X tahun depan antaranya ke Tianjin yang terletak sejam dari ibu kota China itu dan London pada Oktober depan.


Perjanjian antara Ketua Pegawai Operasi (CEO) AirAsia, Datuk Tony Fernandez dan Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar dicetuskan menerusi pertemuan kebetulan antara Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi dan Tony pada satu perlawanan bola sepak.

“Datuk (Kok Chi) menemui saya di terowong bilik persalinan mengenai cadangan untuk menaja MOM. Kami amat mencintai sukan, impian saya sejak kecil adalah untuk mewakili negara dalam Olimpik.

“Ia tidak menjadi kenyataan, jadi saya gembira sebuah syarikat penerbangan Kamarudin (Meranun, Timbalan CEO AirAsia) dan saya ciptakan akan membawa atlit kami ke Sukan Sea,” katanya yang tidak mahu meletakkan nilai penajaan tersebut dengan menjelaskan ia bergantung kepada kadar penggunaan MOM.

Menurut Tunku Imran, perjanjian tersebut juga akan membawa manfaat kepada semua 46 persatuan sukan di bawahnya dengan MOM akan bertindak antara penghubung antara mereka dan AirAsia dalam penajaan tiket perjalanan.

“Kami kini mahu meletakkan diri kami sebagai penghubung antara persatuan sukan dan AirAsia. Bagi AirAsia ia adalah lebih mudah buat mereka untuk berurusan dengan kami kerana kami akan ada staf pejabat menguruskan perkara ini,” katanya pada sidang akhbar antara kedua-dua pihak di Menara KL.

AirAsia bukan asing dalam penajaan sukan di negara ini dengan pembabitannya dalam pasukan MyTeam, Manchester United, pasukan AT&T Formula Satu dan pegawai perlawanan Liga Bola Sepak England di bawah Professional Game Match Officials Limited.

Berita Harian

No comments: