Friday, 17 June 2011

ISN perlu dipisahkan dari MSN - UTUSAN MALAYSIA



KUALA LUMPUR - Institut Sukan Negara (ISN) perlu menjadi sebuah entiti berbeza yang menumpukan kepada penyelidikan dan perkhidmatan dalam perubatan serta sains sukan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, justeru ISN perlu dipisahkan secara pentadbiran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) supaya ia berkembang dengan lebih pesat sebagai peneraju dalam bidang tersebut.

"ISN juga wajar diperkasakan sebagai sebuah badan berkanun yang diberi mandat, fungsi dan kuasa sebagai pusat kecemerlangan dalam menyediakan atlet bertaraf dunia menerusi aplikasi sains sukan termaju dan berteknologi tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Institut Sukan Negara 2011 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, semalam.

Razali menambah, kewujudan ISN sebagai sebuah badan berkanun juga membolehkan usaha pengkomersialan perkhidmatan yang disediakan kepada penggiat sukan dapat dilaksanakan.
Sebagai contoh kata beliau, perkhidmatan pengujian sukan, pemulihan perubatan sukan dan hasil penyelidikan serta inovasi yang boleh dimanfaatkan.

"Ini membolehkan ISN menjadi penjana hasil untuk kerajaan di samping membolehkan penggiat sukan menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh institut tersebut,'' katanya.




UTUSAN MALAYSIA

No comments: