Wednesday, 8 June 2011

ISN minta bantuan anti doping Eropah - UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR - Institut Sukan Negara (ISN) menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Anti-Doping Benua (RADO) di Eropah bagi menjalankan ujian doping ke atas tiga atlet olahraga negara yang berada di Bulgaria, iaitu Norjannah Hafiszah Kamaruddin, Nurul Sarah Kadir dan Noor Imran Hadi.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz, ISN sudah mendapat segala maklumat dan kerjasama daripada Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) agar proses itu dapat berjalan dengan licin.

"Ini bermakna ketiga-tiga atlet yang berada Bulgaria tidak perlu pulang ke Malaysia untuk menjalani ujian doping," katanya ketika ditemui media di Velodrom Cheras semalam.

Jelasnya, jika ada asas dan permintaan untuk melakukan ujian doping tersebut, RADO bersedia untuk membantu ISN dan semuanya dijangka berjalan lancar kerana mendapat mandat daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan KOAM sendiri.

"Jika ujian didapati positif, ia terpulang kepada persatuan kebangsaan itu sendiri iaitu KOAM untuk mengenakan hukuman kepada atlet tersebut, dengan menubuhkan panel seperti mana prosedur yang biasa dilakukan.

"Saya berharap hukuman yang akan dikenakan jika atlet tersebut bersalah juga tidak boleh berat sebelah," katanya.

No comments: