Thursday, 26 May 2011

6 atlit gagal hadiri ujian 'antidoping' - BERITA HARIAN

ZOLKPLES (kiri) dan Dr Ramlan  mengulas isu ‘antidoping’ atlit, semalam.
ZOLKPLES (kiri) dan Dr Ramlan mengulas isu ‘antidoping’ atlit, semalam.
Harap mereka beri sampel kerana MSM, ISN mahu bersungguh pulihkan imej sukan

ENAM atlit olahraga kebangsaan mencetuskan kontroversi apabila gagal menjalani ujian 'antidoping' seperti diwajibkan sebelum dijadualkan berangkat menjalani latihan dan kejohanan di Bulgaria, 28 Mei hingga 3 Julai ini.
Begitupun lima daripada mereka sudah pun menjalani pemeriksaan kesihatan kelmarin, namun gagal hadir apabila diberitahu diwajibkan menjalani ujian berkenaan sejurus selepas itu.

Perkara berkenaan nyata menimbulkan banyak persoalan buat Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz yang tertanya-tanya punca ‘kehilangan’ mereka daripada menjalani ujian berkenaan.

“Di sini (kejadian kelmarin), mereka melakukan dua kesalahan iaitu gagal melapor untuk melakukan ujian antidoping dan kedua, gagal dihubungi apabila pihak ISN cuba menghubungi mereka.

“Jika kesemua ini gagal, maka ISN perlu memaklumkan kepada pihak persatuan untuk tindakan selanjutnya.

“Kita berharap semua atlit dapat memberi sampel seperti yang diperlukan. Kita mengambil masa bertahun-tahun untuk pulihkan imej sukan negara dan saya ingin memberi peringatan kepada semua atlit supaya mengambil sikap serius apabila diminta menjalani ujian antidoping,” kata Dr Ramlan dalam sidang media, semalam.
Menurutnya, berdasarkan insiden mendukacitakan kelmarin, pihak kejurulatihan juga boleh dikenakan tindakan kerana mereka adalah orang paling rapat dengan atlit dan berhak memaklumkan pihak berwajib setiap kali atlit dikehendaki.

“Sekarang ini kalau ada masalah bukan saja atlit tetapi jurulatih juga boleh dikenakan tindakan. Oleh itu, kita mengharapkan kerjasama pihak jurulatih untuk mendapatkan atlit bagi menjalani ujian.”

Dalam nada yang sama, Zolkples berkata, dia kecewa dengan sikap atlit berkenaan yang dianggap senior dan sudah berkali-kali menjalani ujian yang sama sebelum ini.

No comments: