Thursday, 7 April 2011

Kepakaran sains sukan pegawai ISN perlu dipertingkatkan

PELAN induk pembangunan ISN termasuk juga pejabat MSN telah disediakan oleh sebuah syarikat swasta yang dilantik secara runding terus.

Pelan induk ini mengalami beberapa perubahan mengikut perkembangan semasa.

Misalnya terdapat rancangan membina lapangan golf 9 lubang tetapi akhirnya rancangan ini dibatalkan oleh kerana tapak yang diperuntukan telah diambil semula untuk membina Lebuhraya KESAS. Demikian juga terdapat beberapa buah padang yang dirancang tetapi terpaksa dibatalkan kerana pembinaan stadium hoki.
Pembinaan di Bukit Jalil dimulakan dengan bangunan pentadbiran MSN melalui sumbangan RM50 juta dari syarikat Totalisator.

Proses membangunkan fasa awal kompleks sukan di Bukit Jalil ini tergendala sementara oleh kerana kekurangan peruntukan sehingga pihak kerajaan membekalkan peruntukan yang mencukupi sehingga lengkaplah keseluruhan yang terdapat di kawasan MSN dan ISN sekarang ini.

Terpilihnya negara kita menjadi tuan rumah Sukan Komanwel ke-16 pada 1998, telah mempercepatkan proses pembangunan infrastruktur sukan di Bukit Jalil yang juga mengandungi kemudahan sukan penting seperti stadium utama, stadium tertutup, kompleks akuatik, stadium hoki dan gelanggang skuasy.
MSN berpindah ke pejabat yang baru pada tahun 1996. Demikian juga dengan ISN yang dulunya beroperasi di Stadium Jalan Raja Muda Kampung Baru.

ISN bermula dengan nama Bahagian Perubatan Sukan di KBS yang dipindahkan ke MSN sebagai Bahagian Sains Sukan yang kemudiannya dinamakan sebagai ISN.

Sudah 15 tahun ISN beroperasi di Bukit Jalil dengan kelengkapan yang lebih baik dari apa yang ada di Stadium Raja Muda. ISN perlu dimajukan dan mempunyai potensi yang luas untuk maju setanding dengan institut sukan negara lain yang telah mencipta nama.

Tanpa memerlukan bangunan yang baru, ISN ditempat yang sedia ada boleh mencapai apa yang telah dicapai oleh institut lain yang telah berjaya. Perkara pokok yang perlu dipertingkatkan pada pandangan saya kepakaran pegawai-pegawainya bukan saja dalam bidang sains sukan tetapi juga bidang perubatan sukan yang sekarang ini menjadi teras aktiviti di ISN.

Pada pandangan saya sekiranya ISN mahu menjadi sebuah institut sukan yang berjaya, maka kepakaran dalam bidang sains sukan mestilah dipertingkatkan.

Pegawai-pegawai perlu dihantar untuk mendalami pengetahuan dalam berbagai-bagai bidang sains sukan melalui pengajian khusus sehingga ke tahap Phd. Hanya pegawai yang mempunyai pengetahuan dan layak akan mempertingkatkan keupayaan ISN untuk disegani oleh semua pihak bukan saja di negara kita tetapi di peringkat antarabangsa.

Saya telah memulakan program ini dengan menghantar seorang pegawai dan telah pun kembali dengan Ijazah Phd dalam bidang Fisiologi Senam.

Oleh itu saya cadangkan supaya satu pelan induk melatih pegawai-pegawai ISN untuk mengikuti kursus-kursus lanjutan dalam bidang-bidang yang penting perlu disediakan segera dan dana khas untuk ini mestilah disediakan.

Tanpa kepakaran yang tinggi ISN tidak akan ke mana walaupun mempunyai satu kompleks baru yang lebih canggih dari yang ada sekarang. Maka bertindaklah mengikut keutamaan yang lebih tepat.


Pendapat Saya - Datuk Wira Mazlan Ahmad - Utusan Malaysia

No comments: