Thursday, 7 April 2011

Diam tak diam ISN sudah 15 tahun berada di Bukit Jalil


SAYA menerima jemputan untuk menjadi salah seorang ahli panel sambutan 15 tahun Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil yang diadakan pada 1 April lalu.
Namun, demikian saya tidak dapat menerima jemputan berkenaan oleh kerana saya telah terikat dengan satu tugasan yang lain.

Saya sebenarnya ingin menghadiri majlis berkenaan sekurang-kurangnya untuk berkongsi maklumat mengenai ISN khususnya yang berkaitan dengan pembangunan infrastruktur keseluruhan yang terdapat di Bukit Jalil termasuk juga ISN sendiri.

Saya tidak dapat bersama pada majlis berkenaan tetapi yang dukacita ketua pengarahnya, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz terpaksa berehat di Hospital Serdang oleh kerana kurang sihat.

Saya dipinjamkan ke Majlis Sukan Negara (MSN) mulai Mac 1983 sekembalinya saya dari mengikuti kursus sarjana dalam pengurusan sukan dari salah sebuah universiti di Iowa, Amerika Syarikat.

Mungkin tidak ada tugas lain yang ada pada waktu itu, maka saya telah diarahkan untuk merancang dan membangunkan ISN.

Sebelum itu, Kementerian Belia dan Sukan telah pun mengambil alih sebidang tanah seluas kira-kira 80 hektar di Bukit Jalil untuk tujuan pembinaan ISN dan kemudahan sukan yang lain.
Kertas konsep ringkas ISN telah pun disediakan dan tugas saya adalah memperincikan konsep berkenaan dan yang paling penting ialah memulakan pembangunan infrastruktur ISN.


Rakan saya Datuk Rosli Ibrahim yang menjadi Pegawai Daerah Kuala Lumpur yang bertanggungjawab mengambil balik tanah tersebut, memudahkan saya mengetahui lebih lanjut mengenai tanah yang disediakan untuk pembangunan kompleks sukan termasuk ISN.

Tapak kompleks sukan Bukit Jalil yang ada sekarang ini dipenuhi dengan pokok getah, kebun buah belimbing besi, kebun sayur serta sebuah kandang lembu.

Mereka ini telah dibayar pampasan dan mengosongkan tanah tersebut apabila kerja-kerja pembinaan dimulakan walaupun ada yang menggunakan pengaruh politik untuk tidak mahu keluar dari kawasan masing-masing.

KBS mendapatkan khidmat perunding dari kerajaan Jerman Barat (pada masa itu) untuk membuat kajian kemungkinan pembinaan sebuah ISN.


Akhirnya datanglah satu pasukan terdiri daripada dua orang pegawai yang diketuai oleh Prof. Helmut Diegel untuk menjalankan kajian berkenaan dan saya menjadi pegawai tempatan kepada pasukan berkenaan.
Kajian telah diselesaikan dan dicadangkan supaya sebuah institut sukan ditubuhkan dengan beberapa jabatan di dalamnya khususnya dalam bidang sains sukan.

Utusan Malaysia

No comments: