Thursday, 31 March 2011

Pengiktirafan Institut Sukan Negara

Rencana ini adalah mengenai Institut Sukan Negara (ISN) sempena sambutan ke-15 tahun ISN di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil

Oleh Zulhilmi Supaat

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Institut Sukan Negara (ISN) yang ditubuhkan pada 1992 kini dalam rangka persiapan untuk muncul sebagai sebuah institusi sains sukan yang tersendiri pada akhir tahun ini.

Pada masa sekarang, ISN berfungsi sebagai satu entiti di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dengan aktiviti utamanya berkaitan penyelidikan, rawatan dan konsultasi yang merangkumi semua aspek kesukanan.

Menurut Ketua Pengarah ISN Datuk Dr Ramlan Abd Aziz, hasrat institut untuk menjadi entiti tersendiri direalisasikan melalui bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Akta Institut Sukan Negara di Parlimen pada dua minggu lepas dan dijangka diluluskan akhir tahun ini.

Bermula sebagai Bahagian Sains Sukan (BSS) di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) pada 1983, ISN beroperasi di Stadium Jalan Raja Muda atau lebih dikenali sebagai Stadium TPCA sebelum berpindah ke Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil pada April 1996.

Kini selepas genap 15 tahun badan itu beroperasi di Bukit Jalil, ISN meraih pengiktirafan besar dalam usahanya menyalur bantuan kepada atlet dan orang awam dalam sukan dan latihan.



KHIDMAT KEPADA AWAM DAN AHLI SUKAN

Klinik harian ISN turut dibuka kepada kakitangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kompleks Sukan Negara (KSN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan kakitangannya sendiri.

Selain itu, klinik ISN memberi rawatan kepada orang kenamaan dan orang ramai.

Pegawai perubatan ISN Dr Jasmiza Khuzairi Jasme berkata rawatan yang diberikan bukan sahaja kepada melibatkan kecederaan akibat bersukan tetapi juga rawatan kepada pesakit luar seperti demam dan selesema.

Bagaimanapun, klinik bagi kepakaran khusus perubatan sains sukan dibuka pada hari Selasa, Khamis dan Jumaat dan dikendalikan oleh doktor pelawat pakar perubatan sukan seperti Prof Dr Lim Wai Kong (Universiti Putra Malaysia), Dr Mohd Shariff A Hamid (Pusat Perubatan Universiti Malaya) dan Dr Abd Halim Mokhtar (Dekan Fakulti Sains Sukan UM).

Klinik ISN itu diketuai oleh Pengarah Perubatannya Dr Victor Feizal Abdul Shatar Knight dan dibantu oleh Dr Kamarul Hashimy Husain dan Dr Jasmiza.

Pegawai perubatan berkenaan dibantu oleh tujuh penolong pegawai perubatan, enam jururawat, dua juru X-ray, dua juruteknologi makmal perubatan, 12 fisioterafis dan 14 juru-urut perubatan dan kakitangan pentadbiran.

KLINIK ISN JADI TUMPUAN ATLET

Sejak BSS beroperasi di Stadium Jalan Raja Muda, antara atlet terkemuka yang mendapatkan rawatan ialah jaguh olahraga Nur Herman Majid, pemain-pemain badminton negara seperti Razif dan Jalani Sidek, Yap Kim Hock/Cheah Soon Kit, Rashid Sidek, pemain boling kebangsaan Shalin Zulkifli dan skuad hoki kebangsaan.

Dan kini, antara atlet elit negara yang mendapatkan rawatan di ISN di Bukit Jalil ialah pemain badminton perseorangan lelaki dunia, Datuk Lee Chong Wei, pemain skuasy wanita nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David dan pelumba berbasikal trek dunia, Mohd Azizulhasni Awang.

Ramai daripada mereka mendapat rawatan akibat kecederaan ketika berlatih atau ketika kejohanan seperti sakit tulang belakang, terseliuh atau patah.

Malah Mohd Azizulhasni yang berpangkalan di Melbourne, Australia dan mendapat kecederaan selepas betis kirinya tertusuk serpihan kayu ketika kejohanan di Manchester, turut mendapatkan rawatan lanjutan di ISN bila kembali ke Malaysia dua minggu lepas.

Pada tahun lepas, seramai 5,953 pesakit mendapat rawatan di ISN dan daripada jumlah tersebut 67 orang ialah pesakit luar dan 16 kes melibatkan orang kenamaan.

Pada 2009 pula, 8,600 pesakit mendapat rawatan dan pada 2008, seramai 7,536.

Dr Jasmiza berkata daripada keseluruhan jumlah pesakit yang mendapat rawatan di ISN, hampir setengah daripada mereka adalah kecederaan ketika bersukan dan selebihnya hanya kes pesakit luar.

Katanya kecederaan serius yang pernah ditangani ISN, yang melibatkan atlet ialah kegagalan jantung dan patah tulang belakang termasuk bersalin.

Majoriti daripada orang ramai yang mendapatkan rawatan di ISN akibat kecederaan ketika bersukan, mengalami kecederaan di lutut.

Menurut Dr Jasmiza, walaupun terdapat banyak pusat perubatan swasta di negara ini turut menawarkan kepakaran rawatan sains sukan namun klinik ISN tetap menjadi pilihan terutama yang mengalami kecederaan di lutut.

"Ini kerana kos rawatan di ISN lebih berpatutan berbanding rawatan di pusat rawatan swasta," katanya.

KHIDMAT KEPADA ATLET BERAKSI DI LUAR NEGARA

Selain memberikan rawatan kepada atlet dalam negara, pasukan perubatan ISN juga memberikan khidmat kepada atlet yang beraksi di kejohanan luar.

Contohnya, tujuh sukan yang berada dalam program 'Road to London 2012' (RTL) mendapat khidmat kepakaran sains sukan daripada ISN melalui pasukan khusus yang akan mengikuti perkembangan pasukan tersebut sama ada dalam atau luar negara.

Seramai 46 pakar sains sukan ISN yang terdiri daripada pakar psikologi, pakar pemakanan, pakar bio mekanik, pakar konditioning dan penganalisis perlawanan ditempatkan kepada pasukan berbasikal, badminton, terjun, menembak, memanah, bola sepak dan hoki.

Ketujuh-tujuh pasukan tersebut mendapat pasukan khusus yang terdiri daripada lima hingga enam pakar ISN, dalam usaha Malaysia mencari emas pertama dari Sukan Olimpik di London pada 2012 menerusi program RTL.

Bagi pasukan yang berpangkalan di luar negara seperti pasukan berbasikal trek di Melbourne, Australia, ISN turut menghantar pasukannya ke sana.

Kecanggihan teknologi membolehkan laporan kecederaan atlet yang berlatih atau menyertai kejohanan di luar negara, disalurkan terus ke Bukit Jalil untuk dinilai sendiri oleh pakar ISN.

-- BERNAMA

No comments: