Friday, 18 February 2011

Pakar sains sukan jana kejayaan

LIN Dan dijaga  tujuh pakar sains sukan ketika Sukan Olimpik 2008 di Beijing.
LIN Dan dijaga tujuh pakar sains sukan ketika Sukan Olimpik 2008 di Beijing.
ISN perkenal sistem pemantauan bantu atlit layak Sukan Olimpik 2012

BIARPUN nama Institut Sukan Negara (ISN) sering kali terpinggir daripada pengiktirafan kejayaan seseorang atlit, sains sukan di negara ini sudah semakin diterima dan terbukti mampu melahirkan jaguh bertaraf dunia, terutama dalam acara badminton dan berbasikal.

Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata pakar sains sukan sudah bekerja rapat dengan acara badminton sejak dulu lagi manakala keterbukaan jurulatih dari Australia, John Beasley terhadap sains sukan sejak awal banyak membantu meningkatkan kejayaan program masing-masing.
Mengakui pada awalnya berhadapan dengan masalah kerjasama daripada jurulatih untuk menerima kepakaran sains sukan, Ramlan berkata kepercayaan daripada jurulatih semakin bertambah dengan lebih banyak jurulatih yang bersedia bekerjasama dan kongsi masalah yang dihadapi bagi persediaan atlit menghadapi kejohanan.

“Kita mahu memberi impak jika mahukan atlit yang bertaraf antarabangsa. Cuba lihat tuan rumah Sukan Olimpik selalunya mendapat kelebihan terutama sekali dalam bilangan pungutan pingat kerana mereka boleh memaksimumkan penggunaan pakar sains sukan yang ramai.

“Misalnya semasa Lin Dan memenangi emas di Sukan Olimpik Beijing, pada masa itu Lin Dan dijaga oleh tujuh pakar sains sukan yang hanya memberi fokus kepada dia seorang,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Khidmat Sains dan Perubatan Sukan, program Road To London 2012 di ISN, semalam.

Dengan penambahan tiga acara sukan - menembak, hoki dan bola sepak ke dalam program Road To London, 18 pakar sains sukan tambahan disediakan bagi tiga acara sukan ini dengan menjadikan keseluruhan 41 pakar sains sukan yang bekerja rapat dengan setiap tujuh acara sukan.
“Secara dasarnya, kami sudah melakukan program sejak 2009 dan penekanan kini adalah membantu dalam mendapatkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik. Oleh kerana itu, hari ini (semalam), kita memperkenalkan sistem pemantauan yang lebih telus dan senang bagi jurulatih dan ISN menjalankan tugas,” katanya.


B.Harian

No comments: