Tuesday, 3 August 2010

KOAM kritik keputusan MOM

Persatuan tidak lunas bayaran tak dibenar ke New Delhi, Guangzhou

KESATUAN Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) menyelar keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang tidak membenarkan atlit yang layak bertanding ke Sukan Asia dan Komanwel hujung tahun ini, beraksi selagi persatuan sukan yang dinaungi masing-masing gagal melunaskan bayaran pembiayaan Kategori B ke Sukan SEA Laos, tahun lalu.

Presiden KOAM, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata persatuan sukan bukan badan perniagaan yang dan mempunyai pendapatan dan tidak seharusnya dikenakan syarat sedemikian.

“Saya cadangkan MOM supaya mengadakan mesyuarat atas perahu kecil di tengah laut, baru mereka tahu gelombangnya apabila menerajui KOAM. Saya mengeluarkan duit peribadi lebih banyak untuk KOAM daripada perbelanjaan anak sendiri,” katanya ketika dihubungi, semalam.

“Lagipun, pemimpin yang menerajui MOM bukan menganggotai persatuan sukan yang menyumbang pingat kepada kontinjen negara, sebaliknya mereka hanya sekadar mengalungkan pingat apabila atlit memenanginya,” katanya.

Shahidan mengulas keputusan Mesyuarat Majlis MOM minggu lalu yang memutuskan atlit yang layak bertanding ke kedua-dua temasya itu belum pasti boleh beraksi selagi persatuan sukan kebangsaan yang dinaungi mereka gagal melunaskan bayaran pembiayaan Kategori B ke Sukan SEA Laos, tahun lalu.

KOAM adalah antara persatuan sukan yang belum menjelaskan kira-kira RM37,000 kepada badan induk itu, sekali gus 12 atlit mereka yang sudah layak kemungkinan terlepas aksi ke New Delhi dan Guangzhou penghujung tahun ini.
Shahidan mendakwa bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong ketika Sukan SEA Koratpernah membuat janji mulut akan membiayai perbelanjaan semua atlit Kategori B, sekiranya membawa pulang pingat.

“Ketika itu, atlit Kategori B kami membawa pulang dua atau tiga pingat. Saya ingat perjanjian itu masih kekal dan mereka akan membiayai sepenuhnya atlit Kategori B setiap kali Sukan SEA berlangsung,” katanya.


Berita Harian

No comments: