Tuesday, 1 June 2010

Sukan Sea Jakarta lakar rekod

SUKAN Sea Jakarta XXVI, tahun depan dijangka mencatat rekod baru menjadi temasya terbesar dalam sejarah penganjurannya apabila Persekutuan Sukan Sea (SGF) sudah meluluskan 37 acara untuk dipertandingkan.

Sebanyak 10 lagi acara akan dipertimbangkan untuk disenaraikan termasuk yang tidak pernah dipertandingkan dalam temasya sebelum ini iaitu kasut roda, panjat dinding dan paragliding - semuanya atas permohonan tuan rumah, Indonesia.
Tujuh lagi acara yang turut memohon untuk dipertandingkan ialah arnis, bridge (permainan kad), vo vinnam, muay thai, hoki, skuasy dan bola jaring, manakala kriket diputuskan sebagai acara demontrasi.

Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Low Beng Choo yang menghadiri mesyuarat SGF di Jakarta kelmarin bersama dua lagi Naib Presiden MOM, Datuk A Sani Karim dan Datuk Dr Zakaria Ahmad tidak menolak kemungkinan Jakarta XXVI bakal menjadi temasya terbesar dalam sejarah penganjurannya.

“Ia mungkin akan menyamai 43 acara yang dipertandingkan sebelum ini atau melebihi jumlah itu. Segala-galanya akan diputuskan dalam mesyuarat SGF, September nanti,” katanya.

Temasya XXVI adalah kali keempat Indonesia menjadi tuan rumah selepas menganjurkannya pada 1979, 1987 dan 1997 yang menyaksikan mereka muncul juara keseluruhan.

Indonesia juga pernah melakar sejarah menjadi penganjur terbesar dalam sejarah pada 1997 apabila mempertandingkan sebanyak 34 acara sejak temasya dwitahunan itu diperkenalkan pada 1959.
Penganjuran terbesar temasya itu ialah pada 2007 di Korat, Thailand apabila 43 acara dipertandingkan.

Tindakan tuan rumah memperkenalkan beberapa acara baru untuk dipertandingkan bukan perkara baru kerana ia adalah antara strategi memenangi pingat emas sekali gus membantu mereka muncul juara keseluruhan.

Beng Choo berkata, Indonesia mencadangkan temasya itu diadakan di empat gelanggang – Jakarta, Palembang, Bandung dan Semarang.

“Tapi kami minta tuan rumah mengadakan di dua gelanggang bagi memudahkan penganjuran terutama logistik,” katanya sambil menambah Indonesia turut mencadangkan temasya itu diadakan pada 11 November 2011


BH

No comments: