Tuesday, 8 June 2010

Peluang sertai larian baton Komanwel

ATLIT yang menyertai Sukan Malaysia XIII (Sukma) di Melaka berpeluang menyertai Larian Baton Ratu Sukan Komanwel apabila bandaraya bersejarah berkenaan dipilih sebagai lokasi rasmi larian berprestij itu, Sabtu ini.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, berkata antara faktor Melaka dipilih sebagai lokasi rasmi bertujuan memeriahkan temasya Sukma XIII, selain membakar semangat atlit supaya menyimpan cita-cita beraksi pada Sukan Komanwel.
Sehubungan itu, jawatankuasa penganjur larian akan memilih atlit daripada 14 kontinjen yang menyertai temasya Sukma untuk menyertai larian itu, selain memberi peluang kepada atlit lain menyaksikannya secara dekat

Kita harap larian yang diadakan itu mampu membakar semangat atlit remaja yang bertanding di temasya itu, selain mendorong mereka menyimpan cita-cita untuk beraksi di Sukan Komanwel pada masa akan datang, katanya semalam.

Kok Chi berkata, larian baton itu adalah acara tradisi setiap kali Sukan Komanwel berlangsung, bermula Sukan Komanwel di Cardiff 1958 dan di dalam baton terkandung mesej daripada Ratu Elizabeth yang akan dibaca pada hari pembukaan.

Katanya, larian itu diadakan di 71 negara Persatuan Sukan Komanwel bertujuan memberi peluang kepada rakyat setiap negara berkenaan merasai kemeriahan dan menyokong penganjuran temasya itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan menjadi tetamu kehormat dan mengetuai larian, katanya.
Sukan Komanwel XIX akan berlangsung di New Delhi, India dari 3 hingga 19 Oktober 2010.


BHarian

No comments: