Tuesday, 1 June 2010

Bola sepak dapat kategori B

SEPERTI diduga skuad bola sepak – yang menamatkan kemarau 20 tahun memenangi pingat emas di Sukan Sea Laos, tahun lalu – dibenarkan beraksi pada Sukan Asia di Guangzhou, November ini tetapi atas tiket kategori B iaitu harus menanggung perbelanjaan sendiri.

Namun, mereka mendapat sedikit ‘keistimewaan’ apabila Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memutuskan akan membiayai sepenuhnya perbelanjaan skuad bimbingan K Rajagopal sekiranya mara ke suku akhir pada temasya terbesar Asia itu.
“Ini bukan ‘keistimewaan’ kerana ia bukan saja ditawarkan kepada skuad bola sepak tetapi juga buat kuartet 4x100 meter wanita,” kata Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi.

Kita harap ‘tawaran’ ini akan disahut mereka dengan memberi persembahan terbaik pada temasya itu selain mendorong persatuan sukan berkenaan memastikan persediaan lebih rapi dibuat bagi menghadapi temasya itu,” katanya.

Sejumlah 13 persatuan sukan kebangsaan mengadap jawatankuasa pemilihan itu yang dipengerusikan Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar di Wisma MOM, semalam untuk dipertimbangkan sama ada layak beraksi di Sukan Komanwel dan Sukan Asia, akhir tahun ini.

Selain bola sepak, pemimpin persatuan sukan yang turut membentangkan kes mereka ialah ping pong, skuasy, memanah, lawn bowl, badminton, tinju, ragbi, menembak, lawan pedang, karate dan sukan paralimpik.

Sebelum ini, MOM memperkenalkan kategori A dan B dalam pemilihan atlit yang layak beraksi dalam sebarang temasya dengan atlit kategori A ditanggung penuh manakala di kategori B mereka perlu menanggung perbelanjaan sendiri. MOM akan bayar semula semua perbelanjaan jika mereka membawa pulang pingat emas.
Hari ini, 12 lagi pemimpin persatuan sukan akan mengadap jawatankuasa itu bagi membentangkan kes masing-masing bagi tujuan yang sama



BHarian

No comments: