Friday, 9 April 2010

Kok Chi: Mereka setuju jumpa saya


KOK CHI


"MEREKA tiada masalah jika saya menjadi 'orang tengah' untuk menyelesaikan masalah ini."

Demikian jelas Setiausaha Kehormat Malis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi ketika mengulas kenyataannya kepada Kosmo! kelmarin yang mengatakan beliau bersedia menjadi 'orang tengah' bagi menyelesaikan konflik antara Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dengan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Karim Ibrahim.

Kok Chi berkata, pergeseran yang berlaku antara Zolkples dengan Karim mungkin berpunca daripada masalah dalaman yang dilakukan oleh orang bawahan mereka.

Begitupun, Kok Chi juga tidak menolak kemungkinan bahawa perbalahan itu berpunca daripada masalah peribadi yang wujud antara Zolkples dengan Karim.

"Saya rasa mereka (Zolkples dan Karim) tidak boleh berjumpa antara mereka berdua sahaja. Jadi saya akan cuba menyelesaikan isu ini dengan berjumpa satu pihak terlebih dahulu sebelum saya bertemu dengan satu pihak lagi.

"Cuma masanya masih belum dipastikan lagi, saya rasa ia mungkin memakan masa sedikit," ujar Kok Chi kepada Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Kok Chi mencadangkan satu kajian berhubung sistem pentadbiran dalam sesebuah badan sukan harus dilaksanakan.

Jelas Kok Chi, kajian tersebut perlu dibuat bagi mengelak timbulnya sebarang masalah komunikasi.
"Sebagai contoh, KOAM harus kaji semula hubungan mereka dengan persatuan-persatuan olahraga di setiap negeri.

"Jadi tidak timbul sebarang masalah komunikasi antara KOAM dengan ahli di bawah naungan mereka. Malah ia akan menguatkan lagi peranan mereka sebagai badan induk sukan olahraga negara," kata Kok Chi.


Kosmo

No comments: