Thursday, 14 January 2010

Shakam harus seimbang: Kok Chi

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menegur sebarang perubahan kepada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) harus menampilkan elemen keseimbangan serta mengambil kira tahap disiplin terbabit dalam temasya antarabangsa.

Sambil mengalu-alukan pengumuman kerajaan melakukan penilaian semula Shakam, Setiausaha Kehormatnya, Datuk Sieh Kok Chi berkata jumlah diberikan juga harus bersesuaian dengan kadar di beberapa negara rantau ini.

"Saya menyambut baik keputusan kerajaan (mengenai Shakam)," kata Kok Chi, semalam. "Bagi saya jumlah kenaikan itu perlu mengambil kira tahap sukan terbabit dalam temasya antarabangsa di Sukan Sea, Asia, Komanwel dan Olimpik.


"Ada sukan seperti badminton yang tahapnya agak rendah di Sukan Komanwel berbanding disiplin lain, maka jumlah yang disalurkan mungkin berbeza.

"Begitu juga bagi Sukan Sea dan Asia, ada beberapa sukan yang tahap saingan cukup tinggi. Justeru, semua faktor ini perlu diambil bagi menampakkan keseimbangan dan memberi ganjaran bersesuaian dengan tahap sukan terbabit," katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada majlis penghargaan dan sumbangan Shakam pada pemenang pingat emas Sukan Sea 1999, mengumumkan skim hadiah itu akan dikaji semula dengan kadar baru akan diumumkan dalam masa terdekat.
Pada masa yang sama, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, berkata kemungkinan kajian awal kadar baru hanya untuk Sukan Sea.

"Kita akan lihat kenaikan Sukan Sea dahulu sebelum temasya besar yang lain," kata Zolkples.

Oleh Lukman Salleh
lukmsal@bharian.com.my

No comments: