Monday, 18 January 2010

Muhyiddin mahu MOM lebih tegas


Dalam menangani masalah ahli gabungan

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bertindak lebih tegas serta memainkan peranan aktif dalam menangani masalah yang membelenggu ahli gabungannya.

Muhyiddin berkata, MOM sebagai organisasi yang memayungi hampir semua persatuan sukan kebangsaan di negara ini, perlu mengembalikan kedudukannya untuk memainkan peranan supaya setiap ahli gabungannya dapat diurus tadbir sebaik mungkin.



MOM sebagai badan induk boleh melakukan beberapa tindakan termasuk menggantung keahlian persatuan bermasalah sehingga masalah mereka selesai, kata Muhyiddin pada Majlis Makan Malam Tahunan MOM ke-17, semalam.

Dengan tindakan itu, pemimpin-pemimpin persatuan akan lebih berdisiplin dan sentiasa berusaha untuk tidak terkeluar daripada keluarga MOM kerana jika tidak, sudah pasti persatuan yang dipimpin akan kehilangan faedah sebagai ahli gabungan.

Muhyiddin turut menegur persatuan sukan kebangsaan terutama yang terbabit dalam perbalahan dalaman sehingga menjejaskan pembangunan sukan terbabit, serta persatuan yang gagal menyelesaikan kemelut mereka walaupun sudah berlanjutan begitu lama.
Walaupun terdapat kejayaan yang khusus ditunjukkan atlit tertentu seperti dalam sukan skuasy, terjun, lawn bowl, bowling, berbasikal, badminton dan memanah yang boleh dibanggakan, gambaran keseluruhan tidaklah mencerminkan sesuatu yang menggembirakan.


Oleh Lukman Salleh

No comments: