Monday, 18 January 2010

Guna Akta Sukan - TPM


KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketempangan yang wujud dalam persatuan sukan akibat pengurusan yang tidak cekap boleh diatasi jika Akta Pembangunan Sukan 1997 digunapakai secara serius.

Walaupun mengakui, banyak kekurangan yang perlu diperbaiki untuk membolehkan akta tersebut berfungsi dengan lebih efisien, namun ia masih mampu membantu melancarkan pengurusan persatuan sukan negara yang tempang kerana kegagalan pemimpinnya.

Katanya lagi, persatuan sukan tanah air ketika ini masih dikaburi oleh perbalahan dalaman pemimpinnya dan jika masalah tersebut tidak diatasi segera ia boleh menjejaskan pembangunan negara.

"Akta ini telah dilaksanakan selama 10 tahun dan saya percaya terdapat banyak kekurangan yang perlu diperbaiki dalam memantapkannya supaya dapat merangsang kegiatan sukan tanah air.


"Bagaimanapun ia masih perlu digunakan dengan sebaik mungkin untuk membantu memperkemaskan pengurusan negara yang ditempangkan oleh kegagalan kepimpinan dan pengurusan yang tidak cekap,'' kata Muhyiddin dalam ucapannya pada Anugerah Olimpian Majlis Olimpik Malaysia di Wisma OCM, semalam.
Menurut Muhyiddin lagi, akta itu yang diluluskan pada tahun 1997 ketika beliau menjawat Menteri Belia dan Sukan pada masa itu antara lain menghadkan tempoh kepimpinan persatuan supaya pemimpin-pemimpin bermasalah tidak dibenarkan terus memimpin persatuan mereka.

Kata beliau, melalui akta tersebut juga, prinsip demokrasi dalam kegiatan sukan mampu dipertahankan.

No comments: