Monday, 18 January 2010

Daniel Bego Olimpian negara 2009


DANIEL (tengah) bersama barisan pemain badminton wanita negara menunjukkan pingat serta replika cek yang diraih selepas diumumkan selaku penerima anugerah Olimpian Lelaki dan Wanita 2009 di Kuala Lumpur malam tadi.


PERENANG sensasi, Daniel Bego dan skuad badminton wanita negara diumumkan sebagai penerima anugerah Olimpian Lelaki dan Wanita 2009 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kuala Lumpur malam tadi.

Daniel, 20, dipilih sebagai penerima anugerah itu di atas kejayaannya merangkul lima pingat emas dan memperbaharui empat rekod Sukan SEA dalam acara 100, 200, 400 gaya bebas dan 100 meter kuak kupu-kupu pada Sukan SEA XXV di Laos, Disember lalu.

Ini kali kedua Daniel merangkul anugerah itu selepas kali pertama mene- rimanya pada 2007 di atas kejayaan menyumbang dua pingat emas dalam acara 100m kuak kupu-kupu dan 200m gaya bebas dan mencipta rekod baru kejohanan pada Sukan SEA di Korat, Thailand.

"Selepas ini, fokus saya untuk memenangi pingat pada Sukan Asia di Guangzhou China dan Sukan Komanwel New Delhi, India tahun ini," kata Daniel semalam.

Kejayaan pasukan badminton wanita negara yang melakar sejarah menamatkan penantian 34 tahun pingat emas untuk Malaysia selepas menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir Sukan SEA di Laos memboleh- kan mereka menerima anugerah Olimpian Wanita 2009.

Sepuluh pemain yang menganggotai pasukan itu terdiri daripada pemain perseorangan wanita, Wong Mew Choo, Lydia Cheah, Tee Jing Yi, Sannatasah Saniru dan beregu, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty, Chong Sook Chin- Woon Khe Wei serta Goh Liu Ying-Ng Hui Lin.

Kedua-dua penerima anugerah tertinggi itu membawa pulang wang tunai RM10,000 dan sebuah trofi yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

Pada majlis itu, Timbalan Presiden MOM, Datuk Dr. M. Jegathesan dianu- gerahkan Trofi Sukan dan Memerangi Dadah Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC).

Beliau yang juga seorang doktor, pernah mewakili negara dalam tiga Sukan Olimpik pada 1960, 1964 dan 1968 dan menjadi tokoh sukan paling lantang memerangi penggunaan dadah dalam sukan sejak beliau menjadi anggota Jawatankuasa Perubatan MOM sekitar tahun 1980-an.

No comments: